PAS Kemaman bakal bangun pusat gerak kerja baharu

Che Alias Hamid
- Advertisement -

KEMAMAN: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kemaman merancang untuk membina Kompleks PAS Kemaman sebagai pusat utama gerak kerja parti di kawasan itu, selari dengan pertambahan keahlian yang kini mencecah lebih 22,000 orang.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid berkata, keputusan membina kompleks tersebut dibuat selepas melihat kekuatan ahli yang semakin berkembang.

“Memasuki 65 tahun pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan, PAS Kemaman telah melalui pelbagai jatuh bangun, suka duka serta pahit manisnya perjuangan sejak generasi pertama sehingga ke hari ini.

“Sehingga Julai 2025, PAS Kemaman kini menjadi kawasan tertinggi di Negeri Terengganu dengan menerima pendaftaran ahli iaitu seramai 22,069 dan telah berjaya menubuhkan 128 cawangan di seluruh Kawasan Kemaman.

“Jika dilihat pada angka, ianya besar, tetapi di belakang sana ada kerja keras dan pengorbanan yang lebih besar yang datangnya dari semua ahli PAS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran Facebook miliknya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Kemaman ke-65 diadakan pada 28 Jun lalu yang dihadiri lebih 700 perwakilan.

Che Alias berkata, sebagai langkah awal, PAS Kemaman telah menyerahkan bayaran premium tanah kepada wakil Yayasan Pendidikan Taman Islam bagi merealisasikan projek kompleks berkenaan.

“Insya-Allah diharapkan pembinaan kompleks ini mendapat bantuan serta kemudahan dari Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, Che Alias turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan MAT kali ini, khususnya kepada wakil PAS Pusat dan negeri.

“Tidak dilupakan, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad yang sudi hadir merasmikan MAT kami.

“Juga turut memenuhi undangan, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Penerangan PAS Terengganu, DHPP Kemaman, BERSATU Bahagian Kemaman dan semua perwakilan serta pemerhati MAT PAS Kemaman Kali ke-65.

“Moga saf kepimpinan PAS Kemaman 2025/2027 terus diberi kekuatan oleh Allah untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberi,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2025

- Advertisement -