
MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, kembali menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila di sini, pagi tadi, selepas berehat beberapa minggu bagi menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Beliau yang tiba di masjid kira-kira jam 9 pagi memulakan kuliah dengan mengucapkan kesyukuran serta penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya.
“Alhamdulillah, diberikan kesihatan (yang baik). Terima kasih kepada semua yang buat solat hajat dan Allah makbulkan doanya. Dapat kita sambung pembelajaran kita,” katanya.
Sebelum ini, anak beliau, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, memaklumkan Tuan Guru dijadual menjalani satu prosedur rawatan.
Orang ramai turut diminta mendoakan kesembuhan beliau agar dapat kembali meneruskan aktiviti seperti biasa.
Pada 17 Jun, Tuan Guru yang juga Ahli Parlimen Marang dilaporkan selamat menjalani prosedur berkenaan dan berada dalam keadaan stabil.
Untuk rekod, beliau sebelum ini pernah menerima rawatan berkaitan masalah jantung di IJN. – HARAKAHDAILY 4/7/2025











