
KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO Dan Perpaduan Masyarakat komited membantu belia tergelincir kancah dadah termasuk Amphetamine Type Stimulants (ATS).
Pengerusinya, Zamakhshari Muhammad berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama erat bersama agensi bertanggungjawab antaranya Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Kelantan.
Beliau berkata, statistik mendedahkan sebanyak 79 peratus daripada golongan terbabit yang memasuki PUSPEN berjaya bebas sepenuhnya dari penggunaan najis dadah dalam kehidupan mereka.
“Maknanya kalau ada 100 orang, 79 orang yang berjaya pulih sepenuhnya, alhamdulillah, kita sentiasa komited bantu belia kita agar sentiasa amalkan gaya hidup sihat dan jauhi dadah.
“Kebersamaan dalam program ini mencerminkan kerjasama yang erat pihak kerajaan negeri dengan semua pihak demi mewujudkan belia yang sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan Facebook.
Terdahulu beliau mengiringi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam lawatan kerja ke Kelantan meninjau perkembangan terkini PUSPEN Kota Bharu di Pengkalan Chepa dekat sini semalam.
Dalam sidang media berasingan beliau berkata, kerajaan kini sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengekang penjualan dadah secara dalam talian.
Ahli Parlimen Segambut itu kerajaan memandang serius penggunaan dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) selepas ia menjadi trend membimbangkan kalangan pelajar sekolah. – HARAKAHDAILY 4/7/2025











