
KOTA BHARU: Penganjuran Cabaran Robotik Belia ASEAN 2025 (ASEAN Y-RoboC’ 25) di Mydin Mall Tunjong merupakan satu pengiktirafan Kelantan sebagai tuan rumah program peringkat serantau.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO Dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhammad berkata, acara itu memberi peluang penduduk tempatan menyaksikan perlawanan robot secara langsung.
Beliau berkata, ia bukan sekadar pertandingan semata-mata tetapi merupakan wadah untuk menonjolkan kepentingan kreativiti dan persediaan golongan belia untuk menempuh alam pekerjaan.
“Jarang-jarang boleh tengok perlawanan robot secara langsung di depan mata, alhamdulillah program besar peringkat negara-negara ASEAN ini diadakan di Mydin Mall Tunjong, Kelantan.
“Ini satu pengiktirafan buat kita, Kelantan, kerana dipilih menjadi tuan rumah untuk program besar ini diperingkat negara ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu beliau mengiringi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam lawatan kerja ke Kelantan bagi merasmikan acara yang disertai 12 pasukan belia dari 10 buah negara anggota ASEAN.
Program tersebut antara daya usaha utama kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sempena Kepengerusian ASEAN 2025 yang diketuai Malaysia menerusi slogan Keterangkuman dan Kemampanan.
Pemilihan Kelantan menjadi tuan rumah ASEAN Y-RoboC’ 25 bertujuan memberi ruang kepada belia negeri itu merasai pengalaman menyaksikan pertandingan julung kali diadakan itu. – HARAKAHDAILY 4/7/2025











