
AYER KEROH: Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Melaka, Bakri Jamaluddin mendesak tindakan segera daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) susulan pencemaran sungai yang berulang kali berlaku di kawasan Paya Rumput Hilir Jaya, di negeri itu.
Menurutnya, beliau menerima laporan daripada masyarakat berhubung pencemaran sungai di kawasan berkenaan yang dicemari air resapan dari Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sungai Udang, sehingga menyebabkan air sungai berubah menjadi hitam.
“Sungai ini mengalir ke hilir membentuk Sungai Lereh,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu dalam satu kenyataan.
Jelasnya, beliau sendiri telah turun padang meninjau keadaan sungai berkenaan pada sebelah petang, bermula dari Kampung Seberang Gajah, Bukit Berlian hingga ke Kampung Paya Rumput Jaya Hilir.
“Ternyata pencemaran sungai yang bewarna kehitaman dengan bau yang tidak menyenangkan masih berlaku. Menurut penduduk kampung pencemaran ini sudah berlaku sejak 3 hari yang lalu,” jelasnya.
Beliau berkata punca pencemaran itu dipercayai datang daripada air resapan atau ‘leachate’ dari pusat pelupusan berkenaan.
“Ini bukanlah kali pertama ianya terjadi, bahkan semenjak tahun 2023 hingga 2025, walaupun berlaku pertukaran operator namun pencemaran tetap berlaku.
“Pusat Pelupusan Sisa Pepejal ini telah beberapa kali didenda kerana melanggar Peraturan Alam Sekitar Peraturan 29, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pencemaran Daripada Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Dan Kambus Tanah) 2009.
“(Juga) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau lima tahun penjara,” dedahnya.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka itu turut membangkitkan persoalan berhubung tindakan atau pelan pencegahan yang perlu dilakukan oleh pihak operator dan KPKT agar pencemaran tidak berulang.
Beliau menyatakan keprihatinan kerana sungai dicemari itu mengalir melalui kawasan perkebunan sayur dan sawah padi yang berisiko memberi kesan buruk sekiranya air tercemar digunakan untuk menyiram tanaman.
“Menurut penduduk setempat, air sungai bewarna hitam dan busuk ini sering berlaku terutama selepas hujan. Apakah pencemaran sungai ini sudah jadi bak kata pepatah Melayu ‘Ala bisa tegal biasa’?
“Apakah operator pusat ini sudah mangli tidak peduli lagi akan pengaliran air resapan ke dalam sungai kerana denda yang dikenakan kecil bagi mereka?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan peranan KPKT sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap pelupusan sisa pepejal.
“Apakah mereka ‘see nothing and do nothing’ sedangkan petani dan penduduk di sepanjang sungai ini merana sekian lama akibat pencemaran yang berlaku berulang kali.
“Sungai yang dahulunya tempat memancing dan menangkap ikan sudah tiada,” kesalnya.
Menurutnya, Loji Waste-To-Energy (WTE) akan segera dibangunkan oleh sebuah konsortium yang diketuai oleh Malakoff, dengan kapasiti sekitar 970 tan berbanding jumlah sampah harian yang melebihi seribu tan.
“Loji WTE akan siap pada tahun 2029. Sekiranya KPKT tidak punya pelan mitigasi mencegah sementara menunggu loji WTE siap beroperasi, sudah pasti isu ini akan berterusan berlaku,” ujarnya.
Katanya, beliau akan mengemukakan aduan rasmi kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta KPKT dalam masa terdekat. – HARAKAHDAILY 4/7/2025











