Kritik wakil rakyat kurang membantu mangsa tragedi

Ustaz Sabirin (tengah)
- Advertisement -

PUCHONG: Pertubuhan Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Selangor tampil sejak hari pertama kejadian letupan gas di Putra Heights menyantuni mangsa, terutama yang tidak mendapat perhatian wajar daripada wakil rakyat dan agensi kerajaan.

- Advertisement -

Pengarah Khidmat Malaysia Selangor, Ustaz Sabirin Marsono, berkata pihaknya turun ke lokasi khususnya di Kampung Kuala Sungai Baru sebagai pasukan sukarelawan, sama seperti ketika berdepan insiden bencana lain di sekitar negeri itu seperti banjir dan kebakaran.

“Memang tidak banyak yang boleh kami bantu kepada mangsa-mangsa ini kecuali yang pertama dari sudut emosi merekalah. Mereka dihadiri, maknanya disantuni, di pusat-pusat pemindahan dan juga di kawasan-kawasan yang mungkin, Kampung Kuala Sungai Baru ini terutamanya.

“(Ia) yang tidak mendapat perhatian daripada pihak yang sepatutnya turun membantu daripada agensi-agensi kerajaan termasuklah wakil-wakil rakyat di kawasan Kuala Sungai Baru ini iaitu di DUN Seri Serdang ini,” ujarnya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri dan Setiausaha PAS Selangor, Zaidy Abdul Talib serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Ustaz Mohd Shafie Ngah

Juga, Yang Dipertua Kawasan Puchong, Ustaz Rasidi Mohamad Yusop dan ADUN Hulu Bernam, Muhammad Mu’izzuddeen Mahyuddin serta ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata, pasukannya bukan sahaja menyantuni mangsa, malah menjalankan beberapa siri kerja pembersihan di rumah-rumah yang terjejas secara separa, bagi memastikan penduduk dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Tapi kami tidak melihat sebenarnya usaha yang serius daripada wakil rakyat di kawasan ini turut menyantuni mangsa-mangsa ini. Memanglah kami ada turun dan juga sebahagian daripada NGO-NGO yang lain juga yang ada turun, kami tidak menafikan.

“Tetapi maknanya peranan daripada wakil rakyat itu saya lihat sangat minimum,” tempelaknya.

Beliau berkata, peranan Khidmat Malaysia adalah membantu pada peringkat awal, dan kini masih meneruskan bantuan dengan membuka peluang kepada mangsa yang memerlukan keperluan asas dan kewangan untuk kembali ke rumah.

“Dan kami masih lagi membuka ruang kepada mereka sekiranya sebarang bentuk bantuan yang mereka perlukan, termasuklah juga dari sudut menubuhkan jawatankuasa mewakili penduduk-penduduk.

“Ini untuk memastikan bahawa mereka ini tidak dizalimilah di atas bencana yang berlaku ini dan supaya hak mereka dapat diberikan seadil-adilnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2025

- Advertisement -