Tragedi Putra Height: Penduduk kecewa keputusan NFA

Kejadian kebakaran saluran paip gas sepanjang 500 meter di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Selangor pada 1 April lalu.
- Advertisement -

PUCHONG: Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB) melahirkan rasa amat kecewa terhadap keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) oleh pihak berkuasa berhubung kes letupan gas yang berlaku di Putra Heights, baru-baru ini.

- Advertisement -

Setiausahanya, Mohd Badly Nordin menyifatkan keputusan itu sebagai satu pengkhianatan terhadap keadilan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam insiden itu.

“Keputusan ini bukan sahaja menimbulkan tanda tanya terhadap ketelusan proses siasatan, malah turut menafikan hak mangsa untuk mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

“Sehubungan itu, kami menyatakan pendirian tegas dan menuntut agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas; pendedahan penuh hasil siasatan teknikal dan forensik; dan perlindungan undang-undang kepada semua saksi dan mangsa.

“Selain itu, penyaluran bantuan menyeluruh secara adil dan telus kepada semua mangsa,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.

Justeru, Mohd Badly menyeru agar pihak berkaitan mengambil tindakan segera untuk menyemak semula keputusan itu secara telus demi memastikan keadilan tidak terus dinafikan kepada mangsa tragedi.

“Kami juga berharap agar pihak berkaitan dapat mempertimbangkan gesaan ini sebagai satu langkah tanggungjawab sosial dan kemanusiaan demi masa depan yang lebih selamat dan adil untuk rakyat,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai NFA.

“Siasatan dijalankan tidak menemui sebarang unsur jenayah atau sabotaj, jadi kita klasifikasikan kes itu sebagai NFA. Sekiranya ada bukti ataupun keterangan baru yang boleh membantu pihak polis, kita akan buka semula siasatan itu,” katanya.

Hussein berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan untuk menyalurkannya ke pihak polis.

Polis sebelum ini mengesahkan tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dikenal pasti sehingga boleh menyebabkan kerosakan kepada paip gas dan mencetuskan letupan dalam insiden di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu.

Hussein berkata, rumusan berkenaan diperoleh hasil siasatan teknikal yang dilakukan susulan insiden letupan saluran paip gas bawah tanah itu.

Jelas beliau, pembinaan lot kedai pejabat dan penggantian paip pembentung di kawasan kejadian mengikut garis panduan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan PETRONAS.

Selain itu, PAS Selangor memandang serius laporan rasmi berkaitan isu itu yang gagal memberikan penjelasan tuntas, selain menambah luka kepada mangsa serta menimbulkan pelbagai kekeliruan dalam kalangan rakyat dan pakar teknikal.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, laporan berkenaan mendakwa punca kejadian adalah akibat tanah lemah di bawah struktur paip serta tekanan berulang, namun langsung tidak menjelaskan bagaimana kerja tanah boleh berlaku dalam kawasan ‘Right of Way’ (ROW) paip tersebut.

“Apabila ditanya mengenai kewujudan aktiviti kerja tanah di atas laluan paip, pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) hanya memberikan jawapan umum dengan menyebut ‘faktor antropogenik’ tanpa sebarang penjelasan konkrit.

“Sedangkan rakaman papan pemuka sehari sebelum kejadian jelas menunjukkan aktiviti kerja tanah sedang berlaku di lokasi tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2025

- Advertisement -