
KUALA LUMPUR: Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil mempersoalkan pendekatan penguatkuasaan serta tindakan saman ke atas penumpang bas ekspres yang tidak memakai tali pinggang keledar, di mana menurutnya dilakukan seawal hari pertama pelaksanaan peraturan itu.
Katanya, meskipun beliau menyokong kepentingan pemakaian tali pinggang keledar, termasuk di tempat duduk belakang demi keselamatan, namun pelaksanaan undang-undang tersebut perlu mengambil kira pendekatan pendidikan dan kesedaran terlebih dahulu.
“Ya, hari pertama terus kena saman. Tentunya mereka yang disaman terkedu dengan saman yang mereka terima pada hari pertama penguatkuasaan memakai tali pinggang keledar dilaksanakan,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau turut menyifatkan pendekatan penguatkuasaan serta-merta itu boleh menyebabkan kekeliruan dan ketidakadilan kepada penumpang, khususnya warga emas, pelancong dan mereka yang pertama kali menggunakan perkhidmatan bas ekspres.
“Ramai orang termasuk warga emas, pelancong, penumpang kali pertama mungkin belum tahu pun yang tali pinggang belakang dah wajib pakai. Ada yang naik bas pun tak tahu kat mana tali pinggang tu tersorok. Jadi, adilkah kita terus kenakan saman?” soalnya.
Khairul Faizi mencadangkan agar tempoh peralihan diberikan bagi membolehkan masyarakat memahami dan menyesuaikan diri dengan peraturan baharu itu.
“Saya nak cadangkan tiga perkara mudah iaitu, pertama, beri tempoh peralihan satu hingga tiga bulan sebagai masa untuk beri penerangan dan tingkatkan kesedaran.
“Kedua, guna amaran dulu, beri notis lisan atau bertulis, bukan saman dulu. Ketiga, pastikan semua bas memang lengkap dengan tali pinggang dan arahan jelas – jangan nanti penumpang dah nak patuh, tapi prasarana pula belum sedia,” cadangnya.
Tambah beliau, keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama, namun pelaksanaan undang-undang perlulah berperikemanusiaan dan rasional.
“Kalau kita terus hukum tanpa beri peluang orang faham, tanpa beri masa untuk sesuaikan diri, maka apa mesej yang kita nak sampaikan?Undang-undang ini nak selamatkan rakyat, bukan nak ‘tembak curi’ mereka dengan saman,” tegasnya.
Terdahulu media tempatan melaporkan bahawa sebanyak 52 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap pemandu dan penumpang bas ekspres serta persiaran yang tidak memakai tali pinggang keledar.
Daripada jumlah itu, 10 saman dikenakan ke atas pemandu, manakala 42 lagi membabitkan penumpang dan kelindan di mana penguatkuasaan bermula 1 Julai melibatkan bas dibina selepas Januari 2020, sementara bas lebih lama diberi tempoh pemasangan. – HARAKAHDAILY 4/7/2025











