Jaulah LESTARI ke bumi tanah Sari Burma Selatan

Menjengah saudara akidah yang terpuruk

- Advertisement -

MEMASUKI Thailand melalui Bukit Kayu Hitam membelah jalan tanpa tol selama 12 jam ke Ranong yang bersempadan dengan Burma dalam bulan Zulhijjah mengajar erti pengorbanan dengan desakan perut seperti demonstran di hadapan kedutaan Amerika marahkan Zionis yang dibela paman Sam. Kedai-kedai Muslim tutup kerana masih dalam mood beraya dan khabarnya seminggu masyarakat Muslim Thailand akan merayakan Eid Adha.

Segala cicipan kiriman Ustaz Fauzi Husein licin digotong royong perlahan oleh peserta-peserta jaulah Lestari. Pendakwah senior dari Kuala Kedah itu sangat memahami keadaan bumi Thailand di musim perayaan. Kesemua peserta-peserta adalah aktivis bantuan tanpa sempadan. Ada di antara kami yang biasa berkhidmat di Afghanistan, Cox Bazaar Bangladesh, Indonesia, Gaza, Syria, Cambodia, Afrika serta menyertai pelbagai misi dalam dan luar negara.

Myanmar sebelumnya dikenali sebagai Burma, manakala bahasa dalam buku lama sebagai Pegu adalah negara yang sangat bergolak; isu etnik Rohingya yang ditindas, juga pergolakan politik yang sering membadai negara yang ramai para sami itu.

Aku tertampar sedar akan wujudnya komuniti Muslim Melayu di Burma Selatan setelah NGO, Muslim Care Malaysia, mengadakan dua misi ke sana. Cuplikan video yang tersebar dengan latar seolah-olah 1950-an atau 1960-an dengan lelaki-lelaki Melayu berkain pelikat serta masih kuat menggenggam nilai agama. Rumah-rumah beratap nipah dengan batang kayu nibong menunjangi pelantaian adalah warna syahdu daerah Besut, bumi agrarian yang kami cintai, dalam dekad 1960-an. Madrasah agama seperti sekolah dewasa zaman P.Ramlee yang mana kambing bebas keluar masuk serta pakaian kusam para santri sangat menginsafkan.

- Advertisement -

Tanah Sari Burma Selatan juga ada disebut dalam Hikayat Merong Mahawangsa, hampir seribu kilometer jarak sepanjang Pantai Burma Selatan yang dibuka perkampungan oleh orang Melayu Kedah. Bangsa Melayu adalah bangsa pelayar serta pemberani, mereka berjuang melawani musuh alam serta penunggu hutan demi membuka kediaman.

Naratif Melayu bangsa pemalas oleh penakluk Pax Britanica adalah sangkaan jahat untuk merosakkan sejarah bangsa Melayu. Sesebuah bangsa mampu diredam kekuatannya dengan dirosakkan sejarahnya.

Kami bermalam di Ranong, menginap di sebuah hotel di Ranong kerana urusan di sempadan Thai Myanmar akan mengambil masa. Pagi-pagi hari, kami berangkat ke pejabat Imigresen setelah melahap mee segera berjemaah. Kemasukan ke wilayah Burma sangat ketat terhadap kepada pelancong dengan pelbagai syarat yang renyah pasti menjengkelkan.

Ditemani dua orang warga Thailand berbangsa Melayu, kami menyusuri laut dengan pemandangan yang cantik. Bot-bot kayu dengan enjin sangkut melepasi beberapa check point tentera. Merakam foto dan video adalah satu kesalahan. Melihat check point tentera mengingatkan aku kepada perjalanan menghantar bantuan misi food flootila pada tahun 2017. Mereka mengiringi pandangan tidak bersahabat dengan Muslim luar. Teman-teman yang pernah ke misi bantuan Tanah Sari sebelum ini mengingatkan untuk tidak memperagakan diri sebagai anggota misi bantuan.

Langit merah jingga menebar cahaya keperakan  di permukaan laut yang menyimpan sejuta rahsia Muslim Melayu berasal Kedah yang terpuruk serta tidak pernah dipedulikan oleh masyarakat antarabangsa.

Kelihatan pihak aparat keamanan Myanmar mengawal ketat sempadan negara kerana bimbang akan membolosi sempadan negara mereka. Kami kemudiannya, tiba di Khauthwung, bandar yang menjadi nadi masyarakat di Burma Selatan. Perjalanan ini telah diatur dengan baik oleh sahabat yang aku kenali sebulan sebelum itu, Adam. Lelaki polos dengan berloghat Kedah, bercerita dengan penuh teruja tentang Tanah Sari.

Kami menziarahi beberapa buah kampung dengan menaiki dua buah kenderaan. Menghulurkan bantuan serta melihat dengan dekat kehidupan orang Melayu yang tetap bangga menyebut mereka Melayu Kedah yang datang ratusan tahun dahulu di zaman Kedah Tua sebagaimana tercatat dalam Hikayat Merong Mahawangsa.

Mereka berbusana Melayu, malah nama kampung-kampung juga dengan nama Melayu seperti Kampung Teluk, Kampung Pulau Dua, Kampung Tanjung, Kampung Pasir Puteh, Kampung Sungai Balai, Kampung Tanjung Beluru, Kampung Sungai Siput serta nama-nama Melayu yang lain, sama seperti di Semenanjung Malaysia.

Antara faktor mengapa Melayu Burma Selatan ini dapat mengekalkan jati diri mereka ialah kerana jihad pendidikan yang masih subur. Sekolah pondok, madrasah, penggunaan tulisan jawi malah mereka masih mengamalkan acara berzanji, bersilat, berkenduri dengan cara orang Melayu. Kitab-kitab jawi karangan ulama-ulama Pattani masih digunakan. Masjid dan surau masih berkumandang laungan azan untuk memanggil Muslim solat berjemaah dan menadah kitab. Tuan-tuan guru masih menduduki hirarki sosial yang tinggi di wilayah ini melambangkan keutuhan sistem nilai beragama.

Menatap dengan sisi ihsan sebagai seorang Muslim akan kehidupan Melayu Burma terutama sifat lemah lembut, menyantuni tamu dan kuat berpegang dengan agama maka tidak syak lagi wajib kita membantu seupaya mungkin mereka. Membantu usaha pemberdayaan pusat pengajian Islam, membaiki masjid dan surau, menyalurkan bantuan di musim hari raya Korban di mana banyak NGO negara kita menumpukan usaha korban di negara-negara benua Afrika, sub kontinen, Cambodia serta lain-lain tempat yang daif.

Bagi teman-teman yang membaca tulisan ringkas ini, marilah masukkan dalam benak kita bahawa Muslim Melayu Burma juga wajib kita santuni dan peduli. Jangan diabaikan minoriti masyarakat Melayu Tanah Sari Myanmar yang semakin hilang daripada peta sejagat. Mereka perlukan bantuan kita terutama dari aspek pendidikan Islam. Jika tanpa usaha meningkatkan mutu pendidikan, akan hilanglah jati diri Melayu Islam dalam abad mendatang. Melayu akan kekal mulia dengan kekuatan Islam, bukan semata-mata dengan adat.

DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Aktivis misi bantuan tanpa sempadan – HARAKAHDAILY 4/7/2025

- Advertisement -