
SHAH ALAM: Sekretariat Himpunan Turun Anwar akan mengadakan Himpunan Turun Anwar Peringkat Selangor pada Ahad ini, 6 Julai bermula jam 9 pagi di kawasan parkir belakang Hotel Concorde, Seksyen 9, di sini.
Himpunan itu merupakan sebahagian daripada siri bantahan nasional terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, susulan pelbagai isu yang kian dirasakan menjadi tekanan ke atas rakyat.
Himpunan kali ini akan menyaksikan penyertaan pelbagai tokoh muda termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis mahasiswa, ahli akademik, peguam serta pimpinan pemuda parti politik.
Jurucakap sekretariat, Mohamad Suffi Kamari menyifatkan tarikh 1 Julai sebagai ‘hari hitam rakyat’ dan menyifatka Kerajaan Madani sebagai ‘kerajaan mesra cukong dan kapitalis’.
“Propaganda bahawa penarikan subsidi dan peluasan cukai tidak akan menjejaskan B40 adalah paling melampau dan memperbodohkan rakyat kita pernah dengar,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Gombak turut menggesa rakyat hadir beramai-ramai dan memberi tekanan kepada Perdana Menteri sehingga pemimpin itu turun dari kedudukan jawatannya.
Selain perhimpunan di Shah Alam, satu konvoi juga akan bermula seawal jam 9 pagi dari Taman Tasik Cyberjaya menuju ke lokasi utama perhimpunan.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu kunjungan hormat telah dibuat ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada pagi tadi, diketuai Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor, Abdul Basith Abd Halim, bagi menjelaskan berkenaan penganjuran himpunan.
Meskipun Mahkamah Persekutuan sebelum ini mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berperlembagaan, pihak penganjur menegaskan komitmen mereka untuk memberi kerjasama kepada pihak polis demi memastikan himpunan berlangsung secara aman. – HARAKAHDAILY 4/7/2025











