Pertikai tindakan songsang KKM angkat ‘tauke vape’

Mohamad Hanifah Abu Baker
- Advertisement -

SEREMBAN: Pelantikan Presiden Persatuan Vape Malaysia (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merupakan tindakan songsang yang menongkah arus.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, pelantikan tersebut bercanggah dengan usaha membendung ancaman vape terhadap kesihatan awam, khususnya generasi muda.

“Persoalannya, apakah sikap Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun selaku kepala pemerintah kerajaan negeri terhadap peristiwa ini? Menteri Besar seolah-olah masih tidak mengendahkan isu bahaya vape kepada ancaman kesihatan umum,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu mendesak Menteri Besar supaya mempertimbang tindakan meminta KKM agar perlantikan tersebut ditarik semula demi menjaga kredibiliti institusi kesihatan tanah air.

“Perikatan Nasional Negeri Sembilan berharapan tinggi agar desakan ini dipandang serius dan adanya tindakan segera Menteri Besar Negeri Sembilan atas kepentingan kesihatan awam dan menjaga kredibiliti institusi kesihatan negara,” katanya.

Terdahulu, tular gambar sepucuk surat pelantikan Adzwan bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027, yang ditandatangani sendiri oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bertarikh 27 Mei 2025.

Pelantikan itu didakwa selaras dengan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2025 Penambahbaikan Pelantikan Dan Peranan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ia kemudian menjadi tular dengan ADUN Sura, Terengganu, Dr Tengku Mohd Fakhruddin Tengku Md Fauzi menyifatkan pelantikan itu sebagai mengejutkan dan mengecewakan, selain menimbulkan persoalan besar mengenai hala tuju dan prinsip KKM dalam menangani isu kesihatan awam. – HARAKAHDAILY 4/7/2025

- Advertisement -