Kedah sokong bangunkan sukan sekolah agama

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah memberi komitmen penuh dalam menyokong pembangunan sukan di sekolah-sekolah agama demi memastikan bakat pelajar aliran agama terus diasah dan tidak disia-siakan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri, Muhammad Radhi Md Din (foto atas) berkata, pendekatan yang holistik terhadap sukan perlu diberi perhatian kerana ia bukan sekadar aktiviti fizikal, bahkan medium tarbiah dan pembentukan sahsiah.

“Saya amat berbangga kerana Kejohanan Sukan Maktab Mahmud (KESUMAM) ini berlangsung dalam suasana penuh adab dan nilai Islam iaitu aurat dijaga, masa dimanfaatkan dan ukhuwah terjalin.

“Inilah yang menjadikan sukan lebih bermakna, apabila ia disertai dengan adab dan niat yang betul, maka ia menjadi ibadah serta medan membina jati diri,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup KESUMAM Kali Ke-20 di Dewan Sultan Badlishah, Maktab Mahmud Alor Setar, di sini, semalam.

Tambah beliau, KESUMAM bukan sahaja menjadi ruang mencungkil potensi pelajar, malah menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan kecergasan menyeluruh dalam kalangan generasi muda agama.

“Kita mahu lahirkan jaguh-jaguh sukan dari aliran agama. Mereka bukan sahaja hebat di bilik kuliah dan halaqah hafazan, tetapi juga mampu menyerlah di padang dan trek,” ujarnya.

Sebanyak 13 kontinjen Maktab Mahmud dari seluruh negeri telah menyertai KESUMAM 2025 yang menjadi pentas terbaik untuk mempamerkan bakat dalam bidang sukan serta membuktikan kokurikulum turut diberi penekanan seiring kecemerlangan akademik.

Maktab Mahmud Alor Setar muncul Johan Keseluruhan KESUMAM 2025, diikuti Maktab Mahmud Padang Terap sebagai naib johan dan Maktab Mahmud Baling di tempat ketiga.

(Foto UPDA)

Muhammad Radhi turut menyatakan harapan agar kejohanan seumpama ini terus diperkasakan pada masa akan datang sebagai landasan mencungkil bakat pelajar sehingga ke peringkat negeri dan kebangsaan.

“Siapa tahu, mungkin ada dalam kalangan pelajar hari ini yang bakal menjadi atlet kebangsaan, jurulatih profesional atau pemimpin sukan masa depan yang sihat fizikal, cerdas akal dan mulia jiwanya,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2025

- Advertisement -