Pendidikan tinggi bukan sekadar ‘kilang’ ijazah

Dr Haim Hilman Abdullah
- Advertisement -

ALOR SETAR: Sistem pendidikan tinggi negara perlu dirancang secara strategik dan berpaksikan data bagi memastikan ia benar-benar menjadi ‘enjin’ pembangunan negara, bukan sekadar ‘kilang’ ijazah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi dan Sains Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, berdasarkan data tahun 2024, seramai 392,014 pelajar baharu telah diterima masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi peringkat Diploma, Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pelajar aktif (enrolmen) mencecah 1,251,957 orang. Pada tahun sama juga, seramai 259,905 pelajar telah berjaya menamatkan pengajian.

“Angka-angka ini memberi gambaran jelas tentang skala besar sistem pendidikan tinggi negara yang secara purata menghasilkan hampir 300,000 graduan setiap tahun.

“Suatu pencapaian yang membanggakan, namun ia turut menuntut perancangan strategik yang lebih teliti bagi menjamin masa depan mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau telah mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan kepada pihak kementerian agar sistem pendidikan tinggi benar-benar menyumbang kepada pembangunan negara.

Tambah beliau, antaranya ialah pelaksanaan pemetaan menyeluruh antara bidang pengajian di universiti awam dengan keperluan sebenar industri nasional dan serantau secara berkala dan telus.

“Kita tidak boleh terus membenarkan sistem melahirkan puluhan ribu graduan dalam bidang yang telah tepu atau tidak sejajar dengan struktur pekerjaan masa kini.

“Sebaliknya, data tenaga kerja semasa, trend pertumbuhan sektor ekonomi dan unjuran masa depan mesti dijadikan asas kepada jumlah pengambilan pelajar dalam setiap program pengajian,” katanya.

ADUN Jitra itu turut menekankan keperluan untuk mengangkat ekosistem kerjasama universiti-industri (UI-Ecosystem) sebagai teras utama dalam pembangunan pendidikan tinggi.

“Ini termasuk pelaksanaan latihan praktikal yang lebih bermakna, projek penyelidikan berorientasikan penyelesaian industri serta pembentukan Majlis Penasihat Industri di setiap fakulti.

“Kerjasama ini bukan sahaja menjadikan kurikulum lebih relevan, malah memberi nilai tambah kepada pelajar dari segi pengalaman sebenar dunia pekerjaan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, universiti awam juga perlu melakukan audit dalaman ke atas semua program akademik dengan memberi fokus kepada kadar kebolehpasaran graduan serta kesesuaian program dengan keperluan nasional dan pasaran kerja semasa.

“Program yang didapati tidak lagi relevan atau memiliki kadar permintaan yang rendah wajar dikaji semula sama ada dikecilkan, disusun semula atau dihentikan manakala sumbernya dialihkan kepada program baharu yang lebih strategik,” katanya.

Dr Haim turut menggesa agar pendidikan tinggi tidak lagi terikat kepada model ijazah konvensional semata-mata, sebaliknya membuka laluan alternatif seperti microcredentials, pembelajaran modular dan pensijilan profesional yang lebih fleksibel dan relevan.

“Laluan ini membolehkan pelajar dan tenaga kerja menambah nilai diri secara berperingkat, tanpa perlu menunggu tiga hingga lima tahun untuk memperoleh satu ijazah.

“Ia juga memberi peluang kedua kepada mereka yang mungkin tidak berjaya dalam sistem arus perdana,” ujarnya lagi.

Kesemua cadangan itu, katanya, berpaksikan satu matlamat besar iaitu melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, tetapi benar-benar berguna kepada negara dan masa depan mereka sendiri.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan angka enrolmen dan keluaran semata-mata, sebaliknya mesti menilai kualiti dan keberkesanan sistem secara menyeluruh, sejajar dengan amanah besar pendidikan dalam membentuk masa depan Malaysia yang lebih cemerlang,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2025

- Advertisement -