
PADANG TERAP: Usaha memperkasa wanita diterjemahkan melalui Pojek Pembangunan Ekonomi Wanita dan Keusahawanan Padang Terap.
Ia adalah hasil dapatan pemetaan isu oleh Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid bersama pasukan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM) Reform dalam segmen kewanitaan.
Menurut Nurul Amin, inisiatif itu merupakan hasil kerjasama strategik antara badan bukan kerajaan (NGO) Saidatina Khadijah, APPGM Reform dan Pejabat Parlimen Padang Terap yang disusun khusus bagi memperkasa wanita dari aspek ekonomi dan sosial.
“Projek ini diharap menjadi pemangkin dalam memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan komuniti.
“Berdasarkan dapatan daripada sesi perbincangan kumpulan fokus (FGD) dan lawatan lapangan, insya-Allah inisiatif ini dapat membantu menyelesaikan sebahagian cabaran yang dihadapi oleh wanita di Padang Terap,” ujar beliau kepada HarakahDaily, di Dewan Pusat Khidmat Parlimen Padang Terap, di sini, semalam.
Projek tersebut adalah kesinambungan daripada sesi Lawatan Pemetaan Kawasan pada 23 Februari 2025, yang melibatkan beberapa FGD bersama komuniti setempat.
Antara sesi yang diberi perhatian ialah FGD 6 bersama Komuniti Pekebun Getah di Pejabat Penghulu Kampung Labi, Tualak. Antara isu yang dibangkitkan termasuk kesukaran mendapatkan bantuan kebajikan, ketiadaan elaun sara hidup bagi pekebun kecil di bawah RISDA, gejala sosial, jalan kebun yang daif, ketirisan bantuan, perubahan iklim dan tekanan kos sara hidup.
Manakala FGD 7 yang berlangsung di Dewan Maahad Tahfiz Darul Murabbi pula memfokuskan kepada Komuniti Wanita dan Ibu Tunggal.
Peserta menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan sokongan modal dan latihan kemahiran, isu kemurungan, kekurangan pakar sakit puan di kawasan luar bandar, cabaran pendidikan anak-anak serta keperluan khas untuk anak autisme.
Pengurus projek, Azimah Mohd Nor berkata, program bermula hari ini dengan sesi sembang santai bersama 26 peserta daripada kalangan wanita B40.
“Kita mulakan dengan sembang santai terlebih dahulu. Insya-Allah akan ada lapan lagi slot sepanjang tempoh tiga bulan sehingga September nanti,” katanya.
Mengulas lanjut, Ustaz Nurul Amin berkata, pelaksanaan projek ini bakal menjadi intervensi awal secara bersepadu bagi menangani pelbagai cabaran yang dikenalpasti, khususnya dalam memperkukuh daya tahan ekonomi wanita di kawasan ini. – HARAKAHDAILY 4/7/2025











