
GUA MUSANG: Kemajuan fizikal bagi projek pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri di sini kini sudah mencecah 56 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Ogos 2027.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkata, infrastruktur meliputi kawasan seluas 5,400 hektar itu bakal berperanan sebagai sistem tebatan banjir.
Beliau berkata, apabila siap kelak empangan tersebut dijangka mampu mengurangkan sehingga 40 peratus impak banjir khususnya di kawasan hilir Kelantan iaitu Kota Bharu.
“Kemajuan projek kini 56 peratus yang dianggarkan siap sepenuhnya pada Ogos 2027 dan dapat mengurangkan sehingga 40 peratus risiko banjir ketika musim tengkujuh.
“Pembinaan empangan ini turut membentuk kawasan tadahan air, membantu mengawal aliran air dari Sungai Nenggiri dan Sungai Lebir,” katanya dalam kenyataan Facebook hari ini.
Terdahulu beliau mendapat taklimat yang disampaikan oleh Ketua Jajahan Gua Musang, Mohd Roshdi Ismail mengenai pembangunan khususnya membabitkan perkembangan sosio ekonomi rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu berkata lagi, empangan dibina oleh TNB Power Generation Sdn. Bhd (TNB Genco) itu mempunyai kapasiti penjanaan 300 megawatt (MW).
Beliau berkata, ia bakal menjadi satu lagi sumber tenaga boleh baharu (TBB) penting selain selaras dengan inisiatif kerajaan bagi mencapai kelestarian tenaga hijau 2030.
Agenda itu kata beliau, merujuk komitmen negeri dan Persekutuan bagi meningkatkan penggunaan TBB dan mengurangkan kesan alam sekitar dalam sektor tenaga menjelang tahun 2030.
Malah kerajaan negeri berusaha membangunkan sumber TBB seperti solar, biojisim dan sebagainya bagi mengurangkan kebergantungan tenaga fosil yang menjejaskan alam sekitar.

“Empangan ini juga menjadi satu sumber tenaga boleh diperbaharui yang sangat penting, sejajar dengan agenda negara dan negeri ke arah kelestarian tenaga hijau 2030.
“Semoga projek ini dapat memberi manfaat kepada kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat Kelantan,” katanya dalam lawatan kerja ke jajahan Gua Musang semalam. – HARAKAHDAILY 4/7/2025




















