Sasar empat terbaik Liga Super dalam tiga tahun

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menyatakan harapannya untuk melihat Kelantan TRW kembali tersenarai sebagai antara empat pasukan terbaik Liga Super dalam tempoh tiga tahun akan datang.

- Advertisement -

Menurutnya, meskipun tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam mana-mana kelab, beliau tetap memberi sokongan kepada tiga kelab bola sepak negeri.

Iaitu Kelantan Red Warriors FC (KRW FC), Kelantan Wan Tendong Stable FC (Kelantan WTS FC) di Liga A1 Semi-Pro dan Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) yang kini beraksi di Liga Super.

Namun ujarnya, tumpuan utama harus diberikan kepada Kelantan TRW kerana penyertaan kelab itu dalam liga tertinggi negara menjadi kayu ukur kepada pencapaian bola sepak negeri secara keseluruhan.

“Saya hanya mahu melihat bola sepak Kelantan kembali ke zaman kegemilangannya. Ketiga-tiga pasukan memainkan peranan penting, tetapi keutamaan harus diberikan kepada Kelantan TRW kerana mereka bertanding di Liga Super,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena sesi latihan pertama skuad Kelantan TRW di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Jelasnya, pasukan itu disasarkan untuk mencapai kecemerlangan dalam tempoh dua tahun dan paling lewat tiga tahun untuk kembali berada dalam kelompok empat terbaik negara.

“Buat permulaan, kita perlu realistik memandangkan kekangan bajet yang agak kecil dan terhad. Sasaran awal sekurang-kurangnya berada dalam kelompok 10 terbaik sudah mencukupi. Jangan sampai ‘nyawa-nyawa ikan’ atau hampir tersingkir,” katanya lagi.

Tambah beliau, selepas enam bulan pertama, prestasi dan kelemahan pasukan akan dinilai semula sebelum menghadapi jendela perpindahan pemain yang pertama.

“Ketika itu kita akan kenal pasti kekurangan pasukan dan perbaiki apa yang perlu,” ujar Annuar turut mengakui pengurusan baharu Kelantan TRW FC berdepan cabaran besar dalam membina semula kekuatan pasukan.

Namun beliau berharap usaha tersebut mendapat dokongan semua pihak demi mengembalikan maruah bola sepak negeri Kelantan. – HARAKAHDAILY 4/7/2025

- Advertisement -