
AYER KEROH: Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka, Muhammad Al Afiz Yahya menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk mengangkat semula budaya ronggeng dan tarian tandak di negeri itu.
Beliau berkata, dalam suasana negara yang semakin sarat dengan pelbagai bentuk maksiat dan keruntuhan akhlak, usaha membudayakan semula hiburan berlebihan seperti itu disifatkan tidak wajar dan bertentangan dengan aspirasi membina masyarakat berakhlak.
“Apakah ini bentuk pembangunan insan yang ingin kita banggakan? Di mana peranan kita dalam membina generasi yang kuat ilmu, mantap akhlak, dan taat kepada Tuhan?
“Menghidupkan kembali budaya hiburan yang berlebihan bukanlah jalan ke arah pembentukan masyarakat yang sejahtera,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, tumpuan seharusnya diberikan kepada membina budaya ilmu, memartabatkan pendidikan, menyuburkan nilai-nilai agama dan memperkukuh jati diri anak bangsa, bukannya mempromosi tarian dan hiburan.
Yang Dipertua PAS Kawasan Hang Tuah Jaya itu menegaskan bahawa masyarakat hari ini sudah cukup teruji dengan cabaran moral, dadah, jenayah dan keruntuhan institusi kekeluargaan.
“Tambah lagi dengan hiburan berlebihan yang menjauhkan jiwa daripada agama, maka apakah lagi yang tinggal untuk generasi masa depan?” soalnya.
Katanya, pemimpin negeri sepatutnya serius membentuk masyarakat berakhlak dan tidak menjadikan budaya hiburan sebagai alat ‘menarik pelancong’ atau ‘memartabatkan warisan’ sedangkan nilai moral rakyat makin terhakis.
“Bangkitlah Melaka dengan budaya ilmu dan iman, bukan dengan tarian dan nyanyian! Binalah masyarakat, binalah manusia itu sendiri, agar bersama maju moderat dengan jati diri negara bangsa terpuji,” tegasnya.
Terdahulu media tempatan melaporkan Kerajaan Melaka bercadang menghidupkan semula seni tari ronggeng atau joget lambak sebagai tarikan pelancongan baharu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata usaha itu akan dilaksanakan secara teliti bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan beberapa pihak lain.
Beliau yakin tarian tersebut, yang sarat dengan elemen pantun dan budaya, mampu menjadi aset pelancongan negeri seperti Dondang Sayang. – HARAKAHDAILY 4/7/2025











