Bas pink mesra alam mula operasi di Kota Bharu

Pok Nik bersama bas pink Bas.My
- Advertisement -

KOTA BHARU: Bas berwarna merah jambu atau ‘pink’ dijangka akan lebih menarik perhatian orang ramai memandangkan warnanya yang ceria dan berbeza berbanding bas henti-henti sebelum ini.

- Advertisement -

Sebanyak lima buah BasMy pink mesra alam itu mula beroperasi secara rasmi di sekitar bandar ini sejak lima hari lalu, dikendalikan oleh Konsortium E-Mutiara Berhad.

Bas henti-henti tersebut menggunakan enjin diesel Euro 5 yang lebih mesra alam dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon di bandar raya ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Che Ibrahim Che Ismail berkata, lima bas pink telahpun tiba di depo syarikat dan dijangka baki selebihnya akan diterima sebelum hujung bulan ini.

“Untuk permulaan, bas pink ini akan beroperasi di laluan Kota Bharu – Meranti. Selepas ini, akan ditambah tiga lagi laluan baharu menjadikan jumlah keseluruhan laluan kepada 16,” katanya yang mesra dipanggil ‘Pok Nik’.

Beliau memaklumkan, BasMy akan menggantikan perkhidmatan bas harian sedia ada secara berperingkat bagi menyediakan perkhidmatan awam yang lebih efisien dan lestari.

Sementara itu, Pok Nik turut menjelaskan pelancaran perkhidmatan bas elektrik (EV) yang dirancang bermula Julai ditunda ke bulan Ogos berikutan kelewatan penyediaan stesen pengecasan.

Sebelum ini, syarikat terbabit memaklumkan akan mengendalikan lima buah bas elektrik pertama di Kelantan bernilai RM11.2 juta, yang bakal memperluaskan lagi penggunaan kenderaan hijau di negeri ini.

Bas EV itu akan ditawarkan secara percuma kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta pelajar sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT), dengan syarat mereka perlu mendaftar terlebih dahulu.

Pok Nik berkata demikian ketika ditemui pada majlis Kucha Sugho anjuran syarikat bersempena bulan Asyura, yang menyaksikan lebih lapan kawah bubur Asyura dimasak.

Program tradisi itu dimaklumkan telah berlangsung selama lebih 10 tahun oleh syarikat tersebut bersama kakitangan dan rakan strategik syarikat.

Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik cadangan kerajaan mewajibkan penggunaan tali pinggang keledar kepada semua penumpang bas ekspres, sejajar dengan komitmen keselamatan yang diterapkan syarikat sejak lebih sedekad lalu.

“Kita sudah sediakan tali pinggang keledar dalam semua bas ekspres sejak lebih 10 tahun lalu.

“Malah kita tidak mengambil pemandu yang ada rekod saman atau jenayah. Setiap bulan, kita semak semua rekod saman termasuk pemandu dan kenderaan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 4/7/2027

- Advertisement -