Ziarah kubur perlu ikut adab, elak unsur khurafat

Ustaz Ismail Osman
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu mengingatkan umat Islam supaya mematuhi adab dan garis panduan ketika menziarahi kubur bagi mengelakkan perbuatan khurafat serta amalan bertentangan dengan syarak.

- Advertisement -

Ketua Ulamak PAS Terengganu, Ustaz Ismail Osman berkata, ziarah kubur adalah sunnah yang digalakkan bagi lelaki dan dibenarkan bagi wanita sekiranya aman daripada fitnah serta tidak melampau dalam berduka.

“Dewan Ulamak mengambil perhatian terhadap perkembangan tular ziarah ke pusara yang melibatkan perlakuan tertentu yang menimbulkan kekeliuan masyarakat, khususnya berkaitan batasan adab, hukum dan larangan syarak ketika menziarahi kubur.

“Sehubungan itu, Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu ingin berkongsi panduan berdasarkan ajaran Islam yang bersumber daripada karya ulama muktabar, khususnya Al-Adzkar karangan Imam al-Nawawi.

“Amalan ziarah kubur disyariatkan berdasarkan hadis-hadis sahih yang mengajarkan memberi salam kepada ahli kubur, mendoakan mereka dan mengambil peringatan tentang kematian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada isu tular baru-baru ini berkaitan ziarah pusara Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman yang dikatakan melibatkan beberapa perbuatan meragukan.

Menurut bapa Allahyarhamah, Azman Mohamad, terdapat segelintir pihak mengambil tanah dari pusara Nurly Shahirah untuk tujuan kononnya mendapat berkat.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, umat Islam disarankan tidak meninggikan suara, bergelak ketawa atau melakukan perkara tidak sopan serta menegur sesiapa yang menangis dengan ratapan melampau.

Ustaz Ismail turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan amalan atau ritual yang tidak sahih serta menjaga maruah keluarga si mati daripada fitnah.

“Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu menyeru seluruh masyarakat Islam memahami hukum hakam dan adab ziarah kubur berdasarkan panduan Nabi dan keterangan ulama seperti Imam al-Nawawi dalam Al-Adzkar.

“Menjaga maruah keluarga si mati dengan tidak mengambil kesempatan menularkan perkara yang mengundang fitnah dan menjadikan pengalaman ziarah sebagai ruang muhasabah diri dan menginsafi kelemahan insan.

“Marilah kita kembali kepada ajaran Islam yang tulen sebagaimana dihimpunkan dalam kitab-kitab hadis sahih dan panduan para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah, agar amalan kita sentiasa bersih daripada unsur khurafat.

“Semoga Allah membimbing kita semua ke jalan yang benar, menjauhkan fitnah dan memelihara akidah umat Islam,” katanya.

Dewan Ulamak turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Nurly Shahirah dan mendoakan semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman. – HARAKAHDAILY 4/7/2025

- Advertisement -