
KUANTAN: Seramai 10 sukarelawan bersama komuniti setempat bergotong-royong membaiki bumbung rumah seorang penduduk di FELDA Panching Utara yang rosak teruk akibat ribut baru-baru ini.
Program anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahya itu turut mendapat kerjasama Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) Pahang dan sumbangan orang ramai yang prihatin terhadap nasib mangsa.
Tarmizi berkata, kerja-kerja membaiki dan memasang atap baharu di rumah Siti Rohaida Daud itu dijalankan secara gotong-royong sebagai usaha membantu meringankan beban penduduk yang terjejas.
“Terima kasih kepada semua penyumbang, tenaga kerja dan pihak yang terlibat dalam menjayakan misi kemanusiaan ini.
“Sebagai wakil rakyat, kami akan terus berusaha sedaya upaya membantu mereka yang diuji walau tanpa peruntukan khas, kami tetap turun padang demi rakyat,” katanya.
Menurut beliau, semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan komuniti setempat membuktikan bahawa rakyat masih mengamalkan budaya tolong-menolong, terutama ketika berdepan musibah.
“Kami percaya, di sebalik setiap ujian ada hikmah dan di sebalik setiap kesusahan, pasti ada pertolongan jika kita bersatu hati. Semoga segala amal kebaikan ini diberkati dan dibalas sebaik-baiknya oleh Allah SWT,” katanya lagi.
Siti Rohaida yang juga ibu tunggal berkata, rumahnya yang rosak akibat ribut sebelum ini tidak dapat dibaiki kerana kekangan kewangan.
Beliau yang menjual kuih untuk menyara hidup berkata, kos baik pulih dianggarkan mencecah RM5,000, menyebabkan dia terpaksa menangguhkan kerja membaiki atap dan dinding yang diterbangkan angin.
“Saya ucapkan terima kasih kepada YB Tarmizi dan semua yang datang bina semula rumah saya. Saya tidak tahu macam mana nak balas jasa baik YB dan KOSMA, tuhan sahaja yang mampu balas.
“Saya di sini dengan anak sahaja, kalau YB dan semua tidak bantu, saya tak tahu nak cari duit daripada mana, terima kasih banyak-banyak sebab tolong saya,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2025











