Kerajaan perlu teroka potensi TBSB untuk dinaik taraf

Susulan Thailand gerakkan pembinaan Jambatan Darat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan perlu meneroka potensi Pengkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) selepas Thailand mula mengerakkan inisiatif membina projek mega dianggarkan bernilai 29 bilion Amerika Dollar (USD).

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, projek Jambatan Darat Chumphon-Ranong itu bakal menjadi pemangkin TBSB dinaik taraf sebagai hab pelabuhan dan perdagangan penting di rantau ini.

Bagaimanapun beliau kesal kerana TBSB masih berhadapan cabaran termasuk sambutan dingin syarikat serta kekurangan jaringan jalan raya baik yang menyukarkan pergerakan kargo berat dan barangan industri.

“Selain itu kekangan ketidaktentuan dasar dan sokongan kerajaan termasuk insentif pelaburan tidak kompetitif serta kekurangan promosi bersepadu menyebabkan syarikat memilih pelaburan lain.

“Potensi kerjasama dengan pelabuhan di kawasan Selatan Thailand menerusi projek ini masih juga belum diterokai sepenuhnya, walaupun ia bakal menjadi ‘game-changer’ untuk TBSB ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai lawatan kerja Jawatankuasa Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi, Dewan Rakyat ke TBSB di Tok Bali, Pasir Puteh kelmarin.

Lawatan diketuai pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab bagi meninjau keupayaan kemudahan logistik, pelabuhan dan perkhidmatan sokongan yang disediakan di TBSB.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu berkata, majlis tersebut membuka ruang kepada perbincangan konstruktif antara wakil rakyat, pengurusan TBSB seterusnya membawa cadangan diutarakan kepada kerajaan.

Menurut beliau lagi, TBSB dibangunkan sebagai hab logistik utama di Kelantan bagi menyokong industri minyak dan gas luar pesisir di perairan Laut China Selatan, khususnya sektor ‘upstream’ huluan.

Beliau berkata, pelabuhan tersebut kini berfungsi sebagai pusat sokongan perkhidmatan kapal, simpanan bahan api, penyimpanan peralatan, logistik marin serta perkhidmatan berkaitan minyak dan gas.

“Ia juga memberi peluang kepada Jawatankuasa Parlimen untuk membawa cadangan penambahbaikan secara terus kepada kementerian dan agensi yang berkaitan di peringkat kerajaan Persekutuan.

“TBSB ialah aset ekonomi negeri Kelantan yang sangat berharga, dengan sedikit perhatian, dasar yang konsisten, dan pelaburan yang strategik, ia mampu berubah pelabuhan penting,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2025

- Advertisement -