Pelajar cemerlang terima anugerah Menteri Besar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 12 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menerima Anugerah Kecemerlangan Menteri Besar Kelantan dalam satu majlis di Kompleks Kota Darulnaim.

- Advertisement -

Setiap pelajar menerima wang tunai RM1,000 berserta sijil penghargaan, melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM12,000.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dalam Majlis Ramah Mesra dan Anugerah Kecemerlangan Menteri Besar Kelantan kepada pelajar STPM dan STAM yang berlangsung di Mabna, kelmarin.

Dalam ucapannya, beliau menasihatkan para pelajar agar tidak berhenti setakat pencapaian cemerlang di peringkat sekolah, sebaliknya terus berusaha meningkatkan prestasi akademik apabila melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, anak Kelantan hari ini telah membuktikan keupayaan mereka apabila menjawat pelbagai jawatan penting di kementerian dan agensi kerajaan di peringkat pusat.

“Legasi kecemerlangan akademik dan akhlak ini perlu dipertahan dan diperkukuhkan supaya Kelantan terus melahirkan generasi yang berwibawa dan disegani.

“Jangan bila sampai ke universiti berlaku kejutan budaya. Di sekolah, pelajar dipantau oleh guru dan berada di bawah jagaan ibu bapa, tetapi di universiti mereka jauh daripada semua ini,” ujarnya.

Turut hadir exco kerajaan negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dan Tuan Saripudin Tuan Ismail dan Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN), Nik Jessim Tan Sri Nik Hashim serta Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Zulkifle Ab Rahman. – HARAKAHDAILY 4/7/2025

- Advertisement -