Dato’ Johari Mat dinobat Tokoh Maal Hijrah Perlis

Tokoh Maal Hijrah Perlis
- Advertisement -

KANGAR: Prof Emeritus Dato’ Dr Johari Mat telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perlis 2025 pada majlis berlangsung di Dewan Auditorium PULAPEN, Pusat Koreksional Perlis, di sini semalam.

- Advertisement -

Beliau seorang agamawan anak kelahiran Kelantan yang banyak menabur bakti di Perlis sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dari tahun 2007 hingga 2023.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Panau, Tanah Merah selanjutnya di Nilam Puri dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Usuluddin di Universiti Imam Muhammad Ibn Saud al-Islamiyyah, Riyadh, Arab Saudi.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Negara dan pernah dilantik sebagai Ahli Panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Ahli Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan.

Antara pengalaman kerjaya beliau adalah Pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya; tutor di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan; Ketua Eksekutif di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kota Bharu, Kelantan.

Sumbangan beliau kepada rakyat dan negeri diiktiraf apabila pernah menerima penganugerahan Darjah Dato’ Paduka Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2010.

Anugerah Tokoh Maal Hijrah Perlis 2025 itu telah disampaikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail sempena sambutan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H/2025 Negeri Perlis.

Manakala Anugerah Maal Hijrah 2025 diberikan kepada Raja Dato’ Azwani Raja Ariff diikuti oleh Anugerah Jaizah Maal Hijrah 2025 diberikan kepada Dr Ir Ts Mohmad Asari Daud, selain itu 31 anugerah telah disampaikan kepada penerima cemerlang dalam pelbagai kategori.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, sambutan Maal Hijrah yang dianjurkan menjadi lambang harapan dan sinar baharu bahawa setiap insan mampu berubah, dan setiap insan berhak untuk dihargai.

“Di kesempatan ini saya juga menyeru agar semangat hijrah ini terus disuburkan dalam kualiti pendidikan agama yang holistik, kepimpinan masyarakat yang telus dan gaya hidup rakyat yang bertanggungjawab,” titah baginda.

Turut hadir didalam majlis ini adalah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli. – HARAKAHDAILY 4/7/2025

- Advertisement -