Anak-anak sudah berjaya jangan lupa kepada ibu bapa

- Advertisement -

ALOR SETAR: Anak-anak diingatkan agar jangan melupakan jasa kedua ibu bapa apabila telah dewasa dan berjaya nanti, demikian nasihat Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Kata beliau, kejayaan anak-anak adalah pengorbanan ibu bapa dan sekiranya keduanya tidak bersungguh-sungguh dalam pendidikan, mana mungkin anaknya akan berjaya.

“Ada anak-anak yang masuk universiti, kerja hebat tetapi mak ayah di kampung susah pun tak ambik peduli. Sehingga zink bumbung rumah mak ayah tercabut dua keping, pun tak boleh tolong tukar,” tegasnya.

Sehinggakan ujarnya, lebih menunggu tindakan dari wakil rakyat untuk menggantikan bumbung rumah ibu bapa mereka.

“Wakil rakyat boleh lakukan sebab dia bertanggungjawab kepada rakyat di kawasannya, tetapi anak-anak juga perlu berperanan membantu ibu bapa masing-masing,” tambahnya lagi.

Sanusi berkata demikian pada Majlis Anugerah Sanjungan Ilmu, Peringkat Negeri Kedah 2024 di Wisma Darul Aman, di sini kelmarin.

Beliau juga turut mengingatkan para ibu bapa agar jangan melepaskan anak masing-masing begitu sahaja kerana mereka adalah harta yang paling bernilai bagi setiap ibu bapa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu juga memaklumkan beliau pernah bercakap hal sama sebelum ini tetapi ada pihak yang marah kepadanya.

Namun jelasnya, itulah hakikat yang anak-anak perlu mengambil perhatian, jangan menyerahkan urusan kebajikan ibu bapa sendiri kepada wakil rakyat semata-mata.

“Ada yang berjaya, kerja hebat, kahwin dengan anak orang kaya. Tapi dia malu nak beritahu dia orang susah, malu nak balik kampung. Jangan jadi ‘lagu’ (seperti) itu, buat perangai seperti kacang lupakan kulit, biar mak ayah susah di kampung.

“Memang mak ayah kita tak minta apa-apa dari kita, kita berjaya pun mereka seronok dah. Tetapi apa makna kejayaan kita kalau tak boleh memberi manfaat kepada ibu bapa sendiri,” tegasnya lagi.

Tambahnya, ada juga anak-anak yang setiap hari lalu lalang di hadapan rumah ibu bapa, tetapi tidak singgah kerana bimbang ibu bapa meminta duitnya.

“Ini berlaku, rumah mak ayahnya ditimpa pokok, dia hari-hari lalu depan rumah mak ayah dia tapi tak singgah sebab takut mak ayah dia minta duit. Ini drama kehidupan yang berlaku di alam realiti,” tambahnya lagi.

Justeru, beliau mengingatkan yang hadir jangan sesekali menjadi anak yang lupa jasa kedua ibu bapa kerana tanpa pengorbanan mereka, tidak mungkin anak-anak akan berjaya serta berjawatan tinggi.

Tidak guna ujar beliau sekiranya berpangkat besar, jadi peguam, doktor pakar atau lain-lain tetapi mengabaikan ibu bapa.

“Kalau jasa orang lain atau kawan-kawan yang pernah berbuat baik kepada kita, apatah lagi ibu bapa kita sendiri,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 4/7/2025

- Advertisement -