Kelantan bukti Islam mampu tadbir negeri moden

Islam tidak kaku, bukan penghalang kemajuan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menyatakan bahawa terdapat empat kejayaan besar yang dibuktikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan sepanjang lapan penggal pentadbiran PAS sejak tahun 1990 hingga kini.

- Advertisement -

Beliau berkata, daripada sudut pandang Islam, kejayaan pertama ialah kemampuan PAS menunjukkan kepada seluruh negara bahawa Islam bukan sekadar sesuai untuk urusan ibadah dan masjid.

Namun menurutnya, Islam juga mampu menjadi asas kepada pentadbiran sebuah kerajaan yang moden dan stabil, dalam konteks masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia.

“Dahulu ramai yang meragui kebolehlaksanaan prinsip Islam dalam urus tadbir sebuah negeri. Ada yang menyangka Islam tidak boleh mengurus ekonomi, masyarakat majmuk, atau kehendak semasa.

“Tetapi selama lebih tiga dekad, dasar “Membangun Bersama Islam” bukan sahaja kekal, malah semakin kukuh dan diterima oleh rakyat,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Menurut Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu, Islam dilaksanakan bukan secara kaku atau paksaan, tetapi melalui pendekatan yang mendidik, lunak dan bersesuaian dengan keperluan rakyat.

Katanya, daripada pengurusan ekonomi hingga pembangunan insan, daripada hubungan antara kaum hingga pendidikan, segalanya berteraskan nilai Islam yang menyeluruh dan seimbang.

Itulah jelasnya yang membolehkan Kelantan kekal aman, teratur dan utuh walau diuji pelbagai cabaran sepanjang pemerintahan.

Beliau berkata, kejayaan kedua pula ialah PAS membuktikan bahawa ulama bukan sekadar mampu memberi panduan agama, tetapi juga mampu memimpin negeri dengan penuh kebijaksanaan dan integriti.

“Selama ini, imej ulama sering dikaitkan dengan mimbar, bukan pejabat pentadbiran. Tetapi Tok Guru Nik Abdul Aziz telah mengubah persepsi itu.

“Beliau menjadi contoh terbaik seorang tokoh agama yang bukan sahaja disegani dalam kalangan umat Islam, tetapi juga dihormati oleh masyarakat bukan Islam.

“Hari ini, kesinambungan itu diteruskan oleh kepimpinan yang turut lahir daripada latar pendidikan agama, yang bukan sahaja memahami nas, tetapi juga mahir dalam mengurus realiti. Inilah kelebihan model kepimpinan berteraskan ilmu, takwa dan kejujuran,” terangnya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu, kejayaan ketiga ialah PAS membuktikan bahawa keadilan Islam merangkumi semua dan tidak terbatas kepada satu bangsa atau satu agama sahaja.

“Di Kelantan, masyarakat Cina, India, Siam dan Orang Asli terus hidup dalam keadaan yang damai, bebas mengamalkan budaya dan kepercayaan masing-masing tanpa rasa terancam. Mereka bukan sahaja diterima, bahkan turut diberi ruang menyumbang dalam ekonomi dan kehidupan masyarakat.

“Keadilan yang Islam janjikan itu diterjemah dalam bentuk pentadbiran yang tidak menindas sesiapa. Inilah bukti bahawa Islam, apabila dilaksana dengan benar, menjadi pelindung kepada semua insan,” ulasnya.

Mohd Amar berkata, kejayaan keempat ialah Kelantan menjadi contoh bahawa Islam dan pembangunan bukan dua jalan yang bertentangan, sebaliknya apabila pembangunan dibina di atas asas agama, hasilnya lebih lestari dan berkat.

“Ramai yang menyangka negeri berasaskan Islam akan ketinggalan. Tetapi Kelantan membuktikan sebaliknya. Dalam keterbatasan dana dan pelbagai sekatan, kerajaan negeri tetap mampu membangunkan sistem pentadbiran, infrastruktur, pengurusan tanah, pendidikan dan kebajikan rakyat secara konsisten.

“Jika dibandingkan dengan zaman sebelum tahun 1990, ketika negeri ini diperintah oleh Umno dan Barisan Nasional, kemajuan yang dicapai hari ini jauh lebih tersusun dan jelas arahnya,” kupasnya.

Beliau berkata, itulah legasi yang ingin ditinggalkan, bahawa rakyat Kelantan boleh hidup dalam suasana yang berteraskan Islam, dan dalam masa yang sama mampu maju dan moden.

“Islam bukan penghalang kepada pembangunan. Bahkan, Islam menjadi asas kepada pembangunan yang lebih seimbang, bermaruah dan berkekalan.

“Inilah wajah sebenar pemerintahan Islam yang ingin kita tunjukkan kepada negara yang telah dibuktikan sejak sekian lama di bumi Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/7/2025

- Advertisement -