
ARAU: Kerajaan Negeri Perlis kekal komited untuk memastikan sektor pertanian berkembang maju dan berdaya saing, seterusnya menyumbang secara signifikan kepada keterjaminan makanan serta pembangunan ekonomi negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Negeri, Razali Saad berkata, tumpuan serius diberikan terhadap pembangunan sektor pertanian memandangkan hampir 65 peratus kawasan di negeri ini merupakan kawasan pertanian.
“Pemerkasaan sektor pertanian akan terus difokuskan merangkumi industri padi, sayuran, tanaman ladang, buah-buahan, kelapa secara mampan, tanaman industri serta herba.
“Kerajaan negeri akan terus memberi penumpuan bagi memajukan sektor ini secara holistik,” katanya ketika Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 peringkat Negeri Perlis, di sini semalam.
Menurutnya, pelaksanaan banci tersebut membolehkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan merangka dasar serta inisiatif berasaskan data yang tepat dan menyeluruh, sekali gus memperkukuh perancangan, pelaksanaan dan pemantauan sektor pertanian secara berkesan.
Antara penemuan utama laporan itu, seramai 10,241 orang atau 54.4 peratus daripada pengusaha pertanian individu di Perlis berusia 60 tahun ke atas, manakala 5,160 orang (27.4 peratus) berumur antara 46 hingga 59 tahun.
Jumlah keseluruhan guna tenaga yang terlibat dalam aktiviti pertanian di negeri ini pula direkodkan seramai 19,890 orang.
Daripada jumlah itu, 15,983 orang merupakan pemilik dan rakan niaga yang aktif, 3,584 orang adalah pekerja bergaji dan 296 orang merupakan pekerja keluarga tanpa gaji.
“Laporan ini turut merekodkan keluasan bertanam sebanyak 58.5 ribu hektar dan keluasan bertuai sebanyak 52.0 ribu hektar di seluruh Perlis bagi tahun bancian tersebut,” ujar Razali.
Beliau menambah, nilai jualan keseluruhan sektor pertanian negeri bagi tahun tersebut adalah sebanyak RM584.82 juta.
“Sub-sektor tanaman menyumbang peratusan tertinggi iaitu 47.3 peratus, diikuti sub-sektor perikanan (27.3 peratus), ternakan (19.6 peratus), perhutanan dan pembalakan (4.7 peratus) serta akuakultur (1.1 peratus),” katanya lagi.
Menurut Razali, dapatan ini memberi gambaran jelas tentang struktur serta potensi besar sektor pertanian di Perlis, sekali gus menjadi asas penting untuk memperkukuh daya saing dan kelestariannya pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 2/7/2025




















