Gesa pengusaha bot ingkar SOP dikenakan tindakan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menggesa tindakan tegas terhadap pengusaha industri pelancongan, khususnya pengusaha bot yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), termasuk mencadangkan lesen mereka ditarik balik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, berkata langkah itu diambil susulan insiden bot pelancongan yang terbalik akibat dipukul ombak ketika dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar, Sabtu lalu.

- Advertisement -

Beliau berkata, siasatan mendapati bot terbabit membawa 15 penumpang, melebihi kapasiti ditetapkan iaitu hanya 10 penumpang bersama seorang tekong dan seorang pembantu.

“Mana-mana pengusaha, sama ada pengusaha bot atau chalet yang mempunyai bot berlesen dan berlaku kemalangan serta ‘pilot’ (tekong bot) terkait dengan bahan-bahan terlarang maka kita (kerajaan negeri) akan cadang kepada Jabatan Laut supaya tarik balik lesen tersebut.

“Dalam kes ini, yang lesen (pengusaha) bot kita cadang kepada Jabatan Laut supaya menggantung atau menarik lesen itu. Dan untuk masa yang akan datang pun kita akan buat SOP macam itu.

“Jadi apabila terkait sahaja dengan barang terlarang kita akan ‘ban’, dan insya-Allah kita akan berbincang dengan Jabatan Laut untuk menarik balik atau menggantung lesen dia dan individu (tekong bot) itu kita akan serah kepada polislah,” katanya.

Razali berkata demikian kepada pemberita dalam satu sesi sidang media di Wisma Darul Iman, di sini kelmarin.

Mengulas lebih lanjut, Razali berkata, pihaknya berjaya mengenal pasti kesalahan lain yang telah dilanggar oleh pengusaha dan tekong terbabit ketika menjalankan servis walaupun telah mendapat permit dan mempunyai vesel laut berlesen.

“Dia juga langgar peraturan lain, dia langgar peraturan tidak memakai jaket keselamatan dan keluar pada waktu malam. 

“Dia tidak ada permit untuk keluar malam sebenarnya, keluar malam ini ada permit kalau dia mohon dengan Jabatan Laut dan ada syarat-syarat tertentu, tapi dia tidak mohon dan dia (didapati) guna bahan terlarang,” ujarnya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, bot yang membawa 15 penumpang itu karam, mengorbankan tiga nyawa termasuk dua kanak-kanak.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun masih dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Sementara itu, tekong bot berusia 22 tahun direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nurliyana Md Zukri di Mahkamah Majistret Setiu, dan suspek akan direman sehingga Rabu ini. – HARAKAHDAILY 2/7/2025

- Advertisement -