Seru peniaga ganda kebersihan premis dari gred B ke A

ADUN Wakaf Bharu (kopiah hitam) turut bersama dengan sukrelawan dalam aktiviti gotong royong.
- Advertisement -

TUMPAT: Peniaga premis makanan diseru berusaha meningkatkan tahap kebersihan dari gred B ke tahap A bagi memastikan keyakinan pelanggan dan kesihatan awam terus terjamin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah berkata, premis makanan yang hanya mencapai tahap B tidak seharusnya berpuas hati, sebaliknya perlu menjadikan gred A sebagai sasaran utama dalam operasi harian mereka.

- Advertisement -

“Kita tidak mahu peniaga memperoleh sijil kebersihan gred C kerana ia memberi kesan kepada kepercayaan pelanggan. Dari B kena naik ke A, itu tanggungjawab kita semua,” katanya.

Beliau menegaskan kebersihan bukan sekadar untuk lulus pemeriksaan kesihatan, tetapi turut memberi kesan langsung kepada perniagaan dan sumber rezeki peniaga itu sendiri.

“Kalau kedai kotor, pelanggan akan lari awal-awal lagi. Akhirnya pendapatan mereka sendiri yang terjejas,” ujar beliau ketika ditemui selepas merasmikan Program Komuniti Bandar Wakaf Bharu Sehat dan Ceria (Gotong-Royong Kebersihan) anjuran Majlis Daerah Tumpat (MDT).

Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat sentiasa turun padang memantau kedai-kedai makan bagi memastikan semua syarat kebersihan dipatuhi.

Katanya, premis yang gagal mematuhi standard akan dikenakan tindakan dan perlu melakukan penambahbaikan sebelum dibenarkan beroperasi semula.

Dalam perkembangan berkaitan, Pasar Wakaf Bharu dipilih sebagai lokasi penganjuran Program Komuniti Bandar Wakaf Bharu Sehat dan Ceria anjuran Majlis Daerah Tumpat.

Program itu melibatkan penyertaan sukarelawan, penghulu, peserta Ladang Rakyat, NGO dan penduduk setempat seramai 250 orang yang berganding bahu membersihkan kawasan pasar dan sekitarnya.

Mohd Rusli turut menyatakan rasa puas hati terhadap tahap kebersihan Wakaf Bharu secara keseluruhan, namun menyeru masyarakat kampung turut memainkan peranan menjaga kebersihan di peringkat masing-masing.

Beliau mencadangkan agar kempen seperti Kampungku Bersih, Rumahku Bersih diperkenalkan untuk memupuk kesedaran menjaga kebersihan bermula dari rumah.

“Kita jaga kebersihan untuk jaga kesihatan dan elakkan penyakit berjangkit yang berpunca daripada makanan tidak bersih kerana terdedah tanpa ditutup sempurna,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/7/2025

- Advertisement -