
TUMPAT: Anak muda diseru agar tidak sekadar mempertahankan kemenangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Perikatan Nasional (PN) di empat buah negeri, sebaliknya perlu bergerak memperluaskannya dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kejayaan dikecapi hari ini bukan datang secara tiba-tiba, tetapi hasil perjuangan panjang generasi terdahulu yang berani menegakkan Islam dan menolak segala bentuk pengkhianatan.
Katanya, kekuatan yang dimiliki kini menyaksikan PAS dan PN mempunyai 43 Ahli Parlimen dan 143 Ahli Dewan Undangan Negeri, yang membolehkan pentadbiran empat buah negeri dilaksanakan dengan baik termasuk di Perlis.
“Kita bukan sekadar mampu pertahan Kelantan dan Terengganu, tetapi turut menang di Perlis. Ini bukti kekuatan jemaah dan sokongan rakyat yang makin bertambah,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Tumpat Kali Ke-66 di sini kelmarin dahulu.
Beliau menyifatkan peristiwa Hijrah Rasulullah SAW sebagai sumber semangat perjuangan dan pengorbanan demi agama serta membawa perubahan kepada masyarakat.
“Hijrah memberi semangat baru kepada kita. Contohilah perjuangan Nabi yang berhijrah demi Islam, demi perubahan yang membawa kesejahteraan ummah,” jelasnya.
Dalam ucapannya, beliau turut mengkritik tindakan segelintir pemimpin yang meninggalkan perjuangan dengan keluar daripada PAS dan menyertai musuh politik kerana mengejar jawatan dan kedudukan.
“Kita pernah bersabar dan berlapang dada, tetapi apabila berlaku pengkhianatan terhadap tahaluf siyasi, kita putuskan kerjasama. Prinsip kita jelas, walaupun tidak dapat kedudukan dalam kerajaan, kita tetap teruskan perjuangan,” katanya lagi.
Beliau memberi analogi bagaimana perjuangan ini seperti pewarisan kebun durian yang ditanam oleh orang lama, namun kini perlu dipelihara dan dikembangkan oleh anak muda agar lebih subur dan pelbagai hasilnya.
“Kebun yang kita dapat ini jangan hanya dijaga, tetapi perlu diperluaskan dan dipelbagaikan tanaman. Ini tugas dan tanggungjawab generasi muda hari ini,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau menyuarakan kekesalan terhadap sikap sesetengah pemimpin negara Islam kerana tidak bersungguh dalam membela nasib rakyat Palestin meskipun berkongsi akidah dan bangsa yang sama.
“Satu orang satu sumbangan daripada sebuah negara pun sudah cukup bermakna. Tapi sayang, ramai yang membisu,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, diumumkan pemenang Pertandingan Buku Laporan Terbaik melibatkan PAS kawasan dalam Parlimen Tumpat.
Antara yang diumumkan termasuk PAS Cawangan Geting bagi DUN Pengkalan Kubor, PAS Cawangan Berangan (DUN Kelaboran), PAS Cawangan Madrasah Kubur Bau Ganja (DUN Pasir Pekan) dan PAS Cawangan Taman Seri Periuk (DUN Wakaf Bharu). – HARAKAHDAILY 2/7/2025











