Tragedi Putra Height: Laporan gagal beri punca masalah

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS Negeri Selangor melahirkan rasa kecewa terhadap dapatan laporan siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights yang disifatkan tidak menyeluruh serta gagal menyentuh punca asas permasalahan sebenar.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, laporan tersebut dilihat hanya memberi fokus kepada punca langsung tanpa menelusuri akar kepada masalah sebenar yang berlaku.

“Dapatan sedemikian telah menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan dan menimbulkan keresahan dan ketidakpuasan hati yang jelas terserlah daripada keluhan dan kritikan rakyat sejurus laporan tersebut diumumkan.

“⁠PAS Selangor menuntut Kerajaan Negeri Selangor untuk bersikap telus sepenuhnya dan tidak hanya bergantung kepada jawatankuasa penyiasat dalaman sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau, pihaknya kesal dengan kegagalan kerajaan negeri memulihkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan awam serta bimbang kejadian sama akan berulang jika tiada langkah pencegahan diambil.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu mencadangkan agar satu Jawatankuasa Siasatan Diraja atau Jawatankuasa Bebas ditubuhkan untuk menjalankan penyiasatan yang lebih menyeluruh.

“PAS Selangor akan terus memperjuangkan hak rakyat untuk mengetahui kebenaran serta menuntut keadilan bagi semua yang terkesan,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP), Husdin Che Amat berkata, keadaan tanah di bawah paip yang lemah dan tidak menyokong sepenuhnya struktur paip merupakan punca insiden yang berlaku pada 1 April itu.

Laporan siasatan yang dibentang pada Isnin itu mendapati paip gas tersebut memenuhi semua spesifikasi teknikal yang ditetapkan, namun bahagian bawah paip didapati tidak disokong sepenuhnya oleh tanah.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada sebarang unsur khianat dikesan dan hasil siasatan mendapati tiada bukti menunjukkan kejadian disebabkan perbuatan sabotaj atau kelalaian jenayah oleh mana-mana pihak. – HARAKAHDAILY 2/7/2025

- Advertisement -