Mansuh akta yang terbuka kepada salah guna kuasa

Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai hak berhimpun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyambut baik keputusan bersejarah Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berperlembagaan dan bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu merupakan kemenangan besar kepada prinsip kebebasan asasi rakyat dan satu penegasan terhadap supremasi Perlembagaan Persekutuan selaku asas kepada sistem demokrasi berparlimen negara.

“Keputusan ini bukan sahaja mengesahkan hak rakyat untuk berhimpun secara aman, malah memberikan mesej jelas bahawa undang-undang menindas dan tidak munasabah tidak boleh terus diguna pakai dalam sebuah negara demokrasi yang matang,” katanya.

Mahkamah Persekutuan pada Isnin memutuskan bahawa peruntukan Seksyen 9(5); penalti jenayah terhadap penganjur perhimpunan yang gagal memberikan notis lima hari kepada polis, adalah bercanggah dengan hak dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan iaitu hak untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan secara aman dan tanpa senjata.

PAS melihat keputusan ini sebagai satu lonjakan keyakinan terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun yang dijamin Perlembagaan, sekali gus memberi ruang lebih besar kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka tanpa ancaman pendakwaan tidak wajar.

Sehubungan itu, PAS tegas Takiyuddin turut menggesa kerajaan mengambil langkah segera menyemak semula Akta Perhimpunan Aman 2012 secara menyeluruh supaya selari dengan roh Perlembagaan serta prinsip hak asasi manusia sejagat.

“Selain itu, kerajaan juga perlu dengan serius meneliti dan memansuhkan peruntukan dalam beberapa akta yang selama ini terbuka kepada penyalahgunaan kuasa, termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” kata Takiyuddin.

Beliau turut mengingatkan kerajaan mengenai janji Pakatan Harapan dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-15, yang antara lainnya menyatakan komitmen untuk menyemak semula dan memansuhkan undang-undang yang mengekang kebebasan bersuara.

“Janji itu bukan sekadar untuk ditulis dalam manifesto, tetapi perlu diterjemah kepada tindakan undang-undang dan dasar yang benar-benar melindungi hak rakyat,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 2/7/2025

- Advertisement -