
KOTA BHARU: Pelajar lepasan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) di Kelantan kini mempunyai peluang melanjutkan pengajian ke luar negara seperti Mesir dan Tunisia, khususnya di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Selain itu, pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga boleh menyambung pengajian dalam bidang agama dengan kelebihan penguasaan Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, masih ramai masyarakat belum memahami bahawa lepasan pondok mempunyai laluan akademik yang jelas dan luas.
“Sebenarnya mereka ini bukan sekadar berilmu, bahkan boleh mengajar kitab dalam tiga bahasa, iaitu Bahasa Melayu, Arab dan Inggeris,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) 2025 di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim.
Menurutnya, golongan pelajar ini merupakan aset penting negara kerana mereka menguasai ilmu agama yang mendalam dan mampu menyampaikan dakwah serta pendidikan dalam pelbagai bahasa.
“Inilah kehebatan anak-anak kita yang melalui sistem pengajian agama, khususnya lepasan STAM dan STUP yang menunjukkan pencapaian semakin baik,” jelasnya.
Tambah beliau, peningkatan prestasi pelajar STAM membuktikan bahawa sistem pendidikan pondok masih relevan dan mampu bersaing dalam sistem pendidikan moden, termasuk di peringkat antarabangsa.
Katanya, kerajaan negeri melalui dasar pendidikan Islam yang progresif sentiasa memberi sokongan dan membuka ruang kepada pelajar-pelajar ini untuk menyambung pengajian ke Timur Tengah dan institusi pengajian Islam utama dunia.
Dalam masa sama, usaha mendapatkan pengiktirafan rasmi terhadap STUP terus diperjuangkan selaras dengan hasrat memperkasakan pendidikan agama arus perdana.
“Perbincangan teknikal berkait STUP ini sedang berjalan melibatkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), khususnya bagi penilaian terhadap program berstruktur yang dilaksanakan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK),” katanya.
Jelas beliau, pengiktirafan tersebut penting bagi membolehkan lepasan STUP mendapat akses pendidikan tinggi yang lebih luas dan memperkukuh peranan sistem pendidikan pondok.
“Kami mahu pelajar pondok di Kelantan mempunyai sijil yang sah diiktiraf dan setaraf dengan mana-mana sijil agama lain seperti STAM dan STPM, tanpa menjejaskan ciri asal kurikulum pondok,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri komited menyelaras dokumen dan kerangka kurikulum STUP supaya memenuhi keperluan penilaian pihak berkuasa pusat.
Setakat ini, lepasan STUP telah berjaya menyambung pengajian ke luar negara seperti Mesir dan Tunisia, antaranya di Universiti Ez-Zitouna, melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan institusi berkaitan.
“Pelajar STUP bukan hanya mampu hafal kitab turath, malah boleh menguasai bahasa Arab moden dan ilmu usuluddin dengan baik.
“Meskipun belum diiktiraf secara rasmi, STUP telah melahirkan ramai pelajar cemerlang dalam bidang agama dan menyumbang dalam pendidikan Islam di dalam dan luar negara,” katanya lagi.
Sementara itu, satu lagi sijil agama di bawah YIK iaitu Sijil Tinggi Tahfiz al-Quran (STTQ) telah mendapat pengiktirafan rasmi dan diterima untuk kemasukan ke universiti dalam dan luar negara.
Langkah tersebut disifatkan sebagai petanda positif ke arah pengiktirafan STUP, sekali gus membuka lebih banyak laluan akademik dan kerjaya kepada para pelajar pondok.
“Kami percaya, dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pusat, pengiktirafan penuh STUP akan dapat dicapai dalam masa terdekat, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2025




















