KOPEJA contoh kerjasama ekonomi berprinsip ta’awun

Hilmi menyampaikan hadiah berupa sebuah motorsikal dalam acara cabutan bertuah kepada ahli KOPEJA.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Koperasi Pekerja-Pekerja Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (KOPEJA MPKB-BRI) disaran agar terus memperkukuh peranan sebagai badan kerjasama yang menjaga kebajikan ahli berasaskan prinsip ta’awun dalam ekonomi umat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Hilmi Abdullah berkata, koperasi bukan sekadar entiti perniagaan semata-mata, tetapi merupakan wahana untuk memperkasakan kehidupan ekonomi ahli secara bersama dan adil.

- Advertisement -

“Kita mahu koperasi bukan sekadar berperanan dalam perniagaan, tetapi menjadi wahana memperkasakan ekonomi ahli secara bersama dan adil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan KOPEJA MPKB-BRI Kali Ke-43 yang diadakan di Dewan Bunga Raya, di sini kelmarin.

KOPEJA MPKB-BRI yang ditubuhkan sejak tahun 1982 kini mempunyai 273 orang ahli dan terlibat dalam pelbagai bidang termasuk pembiayaan kredit kepada anggota, perniagaan kedai runcit, katering, kedai makan serta hartanah.

Menurut Hilmi, kehadiran anggota koperasi yang majoritinya terdiri daripada pekerja pembersihan MPKB-BRI menjadi cerminan kesungguhan ahli dalam menjayakan agenda ekonomi bersama.

“Kesungguhan anggota, khususnya pekerja pembersihan MPKB-BRI, menunjukkan semangat kolektif yang menjadi asas kejayaan koperasi ini,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa koperasi harus berpegang kepada semangat tolong-menolong dan saling menyokong sesama ahli demi kelangsungan ekonomi yang lebih mapan.

“Koperasi perlu menjadi badan kerjasama yang benar-benar menjaga kebajikan ahli dengan mengamalkan prinsip ta’awun, iaitu saling membantu dalam urusan kehidupan, khususnya ekonomi,” katanya lagi.

Bagi memeriahkan majlis, beliau turut menyumbangkan sebuah motosikal sebagai hadiah cabutan bertuah kepada ahli yang hadir.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Yang Dipertua MPKB-BRI, Azi Rahimee Mohamed. – HARAKAHDAILY 1/7/2025

- Advertisement -