Pelaksanaan SST perlu ditangguh, rakyat terbeban

Dato’ Ariffin Deraman
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu merayu agar pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ditangguhkan ke satu tarikh yang lebih sesuai demi memberi ruang kepada peniaga dan pengguna untuk membuat persediaan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, pelaksanaan dasar tersebut masih mempunyai beberapa kekeliruan dan isu teknikal yang perlu diperjelaskan secara menyeluruh.

- Advertisement -

Menurut beliau, sebagai alternatif, kerajaan negeri mencadangkan kadar SST yang lebih rendah iaitu sebanyak empat peratus untuk dua tahun pertama pelaksanaan (2026–2027), sebelum disemak semula secara berkala.

“Langkah ini penting untuk mengurangkan kejutan ekonomi dalam kalangan rakyat dan memberi ruang kepada peniaga menyesuaikan operasi mereka tanpa tekanan melampau,” katanya menerusi satu kenyataan di laman sosial.

Tambah Ariffin, pelaksanaan SST secara berperingkat bukan sahaja mengurangkan beban pengguna, malah mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi apabila peniaga masih dapat mengekalkan harga munasabah dan margin keuntungan yang stabil.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, kadar hutang isi rumah Malaysia kekal tinggi iaitu sekitar 86 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang jelas mengehadkan keupayaan rakyat untuk berbelanja.

“Kuasa beli rakyat semakin menurun, terutama golongan B40 dan M40 yang lebih terkesan. Kajian oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga menyokong dapatan ini,” jelasnya.

Katanya lagi, pendapatan rakyat kebanyakannya digunakan untuk keperluan asas, bukan untuk kehendak, menyebabkan sektor-sektor tertentu kekal perlahan dari segi permintaan.

“Purchasing Power Parity (PPP) Malaysia pada 2024 dianggarkan sekitar RM135,313.42, menunjukkan tahap kuasa beli yang sederhana. Kadar inflasi yang masih belum pulih, gaji yang statik dan kenaikan harga barang telah mewujudkan tekanan kos sara hidup yang ketara.

“Kerajaan Persekutuan perlu memahami realiti ini. Rakyat perlukan masa dan ruang untuk pulih, bukan dibebankan lagi,” katanya turut berharap pelaksanaan SST akan diimbangi dengan bantuan bersasar dan dasar fiskal progresif, bukannya bersifat menghukum pengguna dan peniaga kecil.

Sehubungan itu Ariffin berkata, permintaan Terengganu seiring dengan pandangan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) yang turut menyarankan agar pelaksanaan SST ditangguhkan.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan rayuan dari pelbagai pihak, termasuk negeri dan pemain industri, demi kesejahteraan ekonomi rakyat keseluruhan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2025

- Advertisement -