Tarif elektrik baharu cengkam kehidupan rakyat

Ibrahim Ali.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Struktur tarif baharu elektrik yang akan mula berkuat kuasa hari ini, 1 Julai 2025 disifatkan sebagai satu bentuk diskriminasi sistemik terhadap rakyat, khususnya golongan memerlukan dan peniaga kecil.

Presiden PUTRA, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, slogan ‘adil dan progresif’ yang sering dicanangkan hanyalah retorik, dengan pengguna terpaksa menanggung beban kenaikan tarif yang mendadak.

- Advertisement -

“Tarif yang melambung menambahkan luka lama pasca pandemik. Kerajaan seolah-olah menghukum sektor akar umbi yang menjadi tulang belakang ekonomi rakyat. AFA (pelarasan bahan api automatik) menjadikan bil bulanan tidak menentu.

“Rakyat yang mahukan kestabilan kini dipaksa hidup dengan ketidaktentuan seperti peniaga saham yang berjudi dengan nasib. Sistem bantuan hanya untuk yang tersenarai dalam e-Kasih adalah satu bentuk pengabaian terang-terangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, penurunan kadar purata tarif asas, iaitu yang diselaraskan kepada 45.40 sen perkilo Watt jam (kWj) berbanding 45.62 sen per kWj sebelum ini hanyalah satu umpan kosong dan manipulasi yang memperdaya rakyat.

“Apa yang diberi di satu tangan, diambil semula dengan caj tersembunyi dan kadar blok seterusnya yang lebih tinggi. Struktur tarif terlalu kompleks. Ia seperti direka untuk menyembunyikan beban sebenar di sebalik istilah teknikal yang tidak mesra pengguna.

“Sikit sahaja penggunaan melepasi ambang, terus dihukum dengan kadar tinggi. Ini bukan galakan, ini taktik memerangkap pengguna biasa dalam sistem yang menindas,” ujarnya.

Ibrahim dalam pada itu mengkritik struktur Time-of-Use (TOU) yang dilihat tidak praktikal untuk majoriti rakyat Malaysia kerana tidak semua pengguna mampu mengubah rutin hidup mereka mengikut waktu tertentu, menyebabkan mereka terus terbeban.

“TOU hanya menguntungkan segelintir, dan langsung tidak mesra kepada majoriti pengguna yang bergantung pada waktu tetap. Kos tinggi menekan pengilang, mengurangkan pekerjaan, dan menaikkan harga barang.

“Tarif ini bukan sekadar isu tenaga, tetapi krisis ekonomi berganda yang menjalar. Dengan tarif yang tinggi, Malaysia menjadi destinasi pelaburan yang tidak kompetitif. Slogan mesra pelabur tidak bermakna jika realiti kos menakutkan mereka,” tambahnya.

Lebih membimbangkan katanya, sektor kesihatan dan pendidikan swasta dijangka menaikkan caj, sedangkan sistem awam tidak mampu untuk menampung lonjakan permintaan.

“Akhirnya, rakyat terus menanggung akibat dasar yang berat sebelah ini dan jauh dari adil. Setelah beberapa kali bertemu dalam perbincangan bengkel, rumusannya indah khabar dari rupa.

“Kos sara hidup rakyat terus meningkat dan pemimpin terus dengan retorik kosong. Awan mendung sudah tiba di langit Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2025

- Advertisement -