Tuisyen Rakyat: Sasar juara SPM dan STPM

Peruntuk hampir RM1 juta

Wan Roslan menyampaikan mock cek peruntukan TRS kepada Presiden BBC, sebagai simbolik pelaksanaan TRS
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berhasrat untuk menjadi juara dalam kedua-dua peperiksaan utama negara iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai langkah memperkukuh kecemerlangan akademik rakyat negeri ini.

Bagi menjayakan hasrat tersebut, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah hampir RM1 juta melalui pelbagai pendekatan pembelajaran termasuk pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) Kelantan 2.0 yang diperkenalkan bermula tahun ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, beberapa inisiatif telah dirangka termasuk tuisyen percuma secara dalam talian yang disasarkan kepada pelajar luar bandar.

Katanya, usaha tersebut bagi memastikan pelajar Kelantan terus mampu bersaing secara sihat walaupun berdepan kekangan dari segi lokasi dan ekonomi.

“Sekarang ini, juara SPM ialah Terengganu, manakala juara STPM ialah Kelantan. Jadi, selepas ini kami nak rebut gelaran juara bagi kedua-dua peperiksaan,” katanya pada Majlis Pelancaran TRS 2025 di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim.

Menurutnya, antara pembaharuan utama tahun ini ialah pelaksanaan e-Tuisyen Rakyat Sejahtera yang membolehkan pelajar mengikuti sesi pembelajaran secara maya dari rumah masing-masing.

“e-Tuisyen ini disasarkan kepada pelajar luar bandar yang tidak mampu ke pusat tuisyen swasta atau yang tinggal jauh dari sekolah. Ada juga yang tidak dibenarkan keluar pada waktu malam, jadi kita bawa tuisyen terus ke rumah mereka secara percuma,” jelas beliau.

Tambahnya, program tersebut akan bermula Julai ini melibatkan lebih 1,000 pelajar dan dikendalikan oleh Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd dengan kerjasama Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Modul e-Tuisyen ini lengkap dengan semua subjek utama seperti Matematik, Sejarah, Bahasa Inggeris, Kimia dan Fizik. Ia dilaksanakan dengan peruntukan RM97,200 daripada kerajaan negeri,” ujarnya.

Buat masa ini, program e-Tuisyen hanya dibuka kepada pelajar sekolah YIK memandangkan kerajaan negeri tidak dibenarkan masuk ke sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Tegas beliau, jika ada sekolah KPM yang mahu ikut serta, penyertaan akan dipertimbangkan berdasarkan bidang kuasa yang dibenarkan.

Selain itu, TRS secara fizikal turut diteruskan dan diperluaskan ke semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan dua kelas (60 pelajar) bagi setiap DUN berbanding hanya satu kelas sebelum ini.

Peruntukan juga ditambah daripada RM10,000 kepada RM15,000 bagi setiap DUN, menjadikan keseluruhan RM675,000 disalurkan untuk menjayakan TRS tahun ini.

Menurut beliau, pencapaian TRS tahun lalu menunjukkan impak positif dengan peningkatan ketara dalam keputusan pelajar, khususnya bagi subjek-subjek teras.

“YIK sahaja mencatat peningkatan empat peratus dalam keputusan SPM 2024,” jelasnya.

Bagi memperluas manfaat kepada pelajar bandar, Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) akan menubuhkan Pusat Tuisyen Rakyat Sejahtera di Kompleks YAKIN bermula Ogos ini.

Turut berucap pada majlis itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Dato’ Abdul Rahman Yunus. – HARAKAHDAILY 1/7/2025

- Advertisement -