
TUMPAT: Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Perikatan Nasional (PN) merupakan gabungan yang benar-benar mampu menjaga kebajikan rakyat serta menyelamatkan negara daripada kekeliruan dan kerosakan politik semasa.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, ketika rakyat sedang berhadapan dengan peningkatan harga keperluan harian, mereka meletakkan harapan kepada PAS, PN dan Muafakat Nasional (MN) untuk keluar daripada kesesakan itu.
Kerana itu katanya, setiap peringkat seperti Dewan Muslimat PAS, Dewan Pemuda PAS, Dewan Ulamak PAS dan Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP) dan Sidang Assabiqun mesti bergerak dalam kerangka arahan pimpinan.
Tegas beliau, ia bagi memastikan hasrat membantu rakyat pelbagai peringkat dapat ditangani dengan baik.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Tumpat Kali Ke-66 di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Ugama Arab Bustanus Saadah Morak, di sini kelmarin.
Mesyuarat berkenaan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’Mohd Nassuruddin Daud yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan.
Dalam ucapannya itu juga, beliau turut menekankan kepentingan mendekati golongan muda dan membantu mereka memahami nilai serta dasar perjuangan PAS kerana golongan tersebut merupakan pelapis masa depan yang akan meneruskan misi Islam.
“Anak-anak muda dan Muslimat muda mesti bekerja keras dari sekarang untuk menjelaskan perjuangan Islam dan memahami keaslian perjuangan ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ustaz Ahmad turut menyentuh isu Palestin, sambil menyatakan hanya 14 peratus tanah asal kini kekal diduduki oleh rakyat Palestin, tetapi selebihnya telah dirampas secara zalim oleh rejim penjajah.
Beliau berkata, serangan Iran terhadap Israel pada 13 Jun lalu memberi nafas baharu kepada kebangkitan ummah dan telah mencetuskan gelombang kesatuan yang luar biasa.
Sambungnya, Israel telah menzalimi rakyat Palestin sejak sekian lama, selain kebangkitan Iran membuktikan bahawa umat Islam tidak bersendirian.
“Kebangkitan ini telah berlaku hingga menggerunkan Israel. Sifat angkuh Israel telah dicabar oleh keberanian Iran. Malah umat Islam di Pakistan turut bangkit dan bersatu menzahirkan sokongan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan perkembangan itu sebagai bukti bahawa kesatuan umat Islam mampu menewaskan musuh dan sehingga kini, Iran dan Pakistan telah menunjukkan kemenangan moral dalam mempertahankan maruah ummah. – HARAKAHDAILY 1/7/2025











