
KOTA BHARU: Bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan pandangan terbaru Khairy Jamaluddin (KJ) terhadap PAS sebagai satu perkembangan sihat dan positif.
Menurut beliau, meskipun terdapat reaksi berbeza serta rasa terguris dalam kalangan penyokong, namun hakikat bahawa tokoh seperti KJ mula memberi perhatian terhadap PAS merupakan satu petanda baik.
“Setidak-tidaknya, KJ cuba mengenali PAS. Saya mengambilnya secara positif,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyentuh fenomena terkini di mana semakin ramai bekas penentang tegar PAS mula memberi testimoni yang lebih lunak terhadap parti Islam itu.
Antara tokoh yang disebut beliau termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Dato’ Zaid Ibrahim, Tengku Razaleigh Hamzah serta beberapa anak muda daripada kaum Cina dan India.
Katanya, perubahan sikap ini tular di media sosial dan menunjukkan PAS kini mula dilihat dari sudut yang lebih objektif dan adil.
“PAS sendiri terus merekayasa diri, menambah baik pendekatan tanpa mengorbankan pendirian yang istiqamah menegakkan Islam. PAS tidak bersifat ‘in denial’. Itu satu kekuatan,” katanya lagi.
Mengulas sedikit perbezaan pandangan daripada KJ, Annuar menyifatkan ia sebagai sesuatu yang lumrah kerana mungkin berpunca daripada latar belakang dan pengalaman peribadi KJ terhad kepada naratif tertentu.
“Saya sendiri satu ketika dulu menggunakan kaca mata musuh politik PAS dan membuat rumusan yang tidak tepat. Hari ini saya menemui jawapan kenapa Umno semakin lemah dan PAS semakin kuat,” ujarnya.
Beliau percaya, dengan izin Allah, Khairy dan ramai lagi rakan lain akan berpeluang mengenali PAS secara lebih dekat dan menyeluruh dengan perspektif baharu pada masa akan datang.
“Terima kasih KJ kerana lebih positif terhadap PAS. Ada masa boleh kita minum kopi bersama,” ujarnya dalam kenyataan itu dengan nada bersahabat. – HARAKAHDAILY 1/7/2025











