
ARAU: Perlis menjadi negeri perintis pelaksanaan aplikasi MISI, sebuah platform penghantaran makanan atas talian berasaskan komuniti yang dibangunkan oleh anak muda tempatan, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi.
Pengerusi Jawatankuasa Belia Negeri, Mohd Ridzuan Hashim berkata, inisiatif ini membuka ruang kepada pembangunan ekonomi digital yang lebih meluas, sekali gus memperkukuh peranan belia dalam ekosistem teknologi negeri.
“Pertemuan ini membuka ruang perbincangan dan perkongsian idea bagi memperkukuh peranan aplikasi MISI dalam merancakkan ekonomi digital serta memperluaskan impaknya kepada komuniti setempat, khususnya anak muda,” katanya.
Beliau terdahulu bertemu dengan Ahmad Faiz bagi membincangkan hala tuju pembangunan aplikasi berkenaan, di sini semalam.
Setakat ini, lebih 45 pentadbir dan hampir 100 penghantar (rider) telah berdaftar di bawah platform tersebut dan ia sekali gus membuka peluang pekerjaan baharu serta menjana pendapatan kepada golongan belia di Perlis.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri amat menghargai usaha proaktif digerakkan oleh Faiz dengan menyifatkannya sebagai pemangkin kepada pembentukan kitaran ekonomi digital yang mampan dan inklusif.
“Inisiatif ini bukan sahaja memperkasa belia melalui peluang kerjaya baharu, malah turut menyumbang kepada promosi eko-pelancongan negeri secara kreatif dan tersusun,” ujarnya.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Osman Shahrudin dan Ustaz Farhey Ahmad. – HARAKAHDAILY 1/7/2025











