Terima peruntukan tambahan baiki LRA Bkt Remah

Kerja baik pulih cerun di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah Tanah Merah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menerima peruntukan tambahan dari Kerajaan Persekutuan sebanyak RM6.6 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih cerun di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah Tanah Merah.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkata, pihaknya turut merakam ucapan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana membantu menyelesaikan masalah itu.

- Advertisement -

Kerajaan negeri katanya, mengamalkan politik matang dan sejahtera bagi memastikan semangat federalisma terus diperkukuhkan antara negeri dan Persekutuan walaupun ideologi politik berbeza.

“Inisiatif ini mendapat maklum balas positif apabila Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM6,612,200 bagi kerja-kerja baik pulih cerun terbabit.

“Kita merakamkan setinggi-tinggi perhargaan di atas kelulusan yang amat bermakna buat rakyat bagi memastikan masalah dapat diatasi segera,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu menjelaskan, pihaknya turut meluluskan peruntukan sebanyak RM235,000 kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi melaksanakan kerja-kerja awalan.

Menurut beliau, ia membabitkan dua kajian iaitu Kajian Siasatan Tanah dan Kajian Ukur terperinci di lokasi insiden cerun runtuh yang berlaku ketika musim tengkujuh pada akhir tahun lalu.

Insiden tersebut telah menyebabkan berlaku pergerakan dalam tanah sepanjang 130 meter, selain mengakibatkan kerosakan pada struktur ‘sheetpile’ di loji mempunyai 13,000 akaun pengguna itu.

Kejadian itu juga turut menjejaskan paip air mentah dan terawat pecah serta mengancam bangunan penting seperti bilik klorin, tangki bahan kimia dan sub-stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB). – HARAKAHDAILY 1/7/2025

- Advertisement -