MB hadir mesyuarat ECERDC bersama Perdana Menteri

Mesyuarat ECERDC bersama Perdana Menteri
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud menghadiri Mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dipengerusikan Perdana Menteri.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail serta Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

- Advertisement -

Sementara itu Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebook memaklumkan, bagi tempoh enam bulan pertama 2025, ECERDC berjaya merekodkan perkembangan memberangsangkan.

ECERDC katanya, berjaya menarik pelaburan berjumlah RM6.4 bilion dengan mewujudkan lebih 2,800 peluang pekerjaan baru di negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, nilai pelaburan komited pula telah mencecah RM10.4 bilion, iaitu melepasi sasaran iaitu RM10 bilion yang ditetapkan untuk tahun 2025.

Rancangan kerajaan terutamanya melalui Pelan Pembangunan ECER antara lain akan menyaksikan sebanyak lapan projek strategik dan berimpak tinggi dijadualkan akan siap pada tahun ini.

“Saya telah tekankan keperluan meletakkan kepentingan jangka panjang negara dalam usaha menarik pelabur termasuklah kepentingan peratusan elemen peralihan teknologi dan kemahiran dalam setiap pelaburan masuk yang diluluskan.

“ECERDC perlu meneruskan momentum ini melalui proses fasilitasi yang efisien dan proaktif yang akan mengukuhkan kedudukan Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2025

- Advertisement -