
BUAT pertama kalinya, penduduk Perlis dan pelancong berpeluang menikmati pengalaman bersiar-siar mengelilingi bandar Kangar dan Kuala Perlis dengan menaiki HoHoBus, sebuah bas dua tingkat tanpa bumbung yang kini beroperasi di negeri ini.
Dengan hanya RM3 untuk tiket dewasa, pengunjung boleh merasai pengalaman melihat keindahan landskap bandar dari perspektif berbeza, lebih-lebih lagi pada waktu pagi dan petang yang menawarkan suasana yang nyaman dan menarik.
Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah pula boleh menaiki bas ini secara percuma.
HoHoBus akan memulakan perjalanan dari Terminal Perlis Sentral dan melalui 10 hentian menarik yang merangkumi lokasi-lokasi tumpuan seperti Masjid Alwi, Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Kampung Warna-warni, Masjid Terapung Al-Hussain, Jeti Kuala Perlis, dan Pantai Kuala Perlis.
Setiap perjalanan mengambil masa kira-kira 1 jam 20 minit dan beroperasi enam kali sehari pada hari Sabtu dan Ahad.
Tiket boleh dibeli di kaunter tiket Terminal Perlis Sentral atau secara terus daripada pemandu bas di mana-mana hentian yang disediakan.
Penumpang diwajibkan mematuhi beberapa peraturan keselamatan sepanjang perjalanan termasuk tidak berdiri di atas kerusi, tidak melakukan aksi berbahaya, serta menjaga kebersihan di dalam bas.
Kehadiran HoHoBus di Perlis bukan sahaja menambah warna baharu dalam sektor pelancongan negeri, malah memberi peluang kepada orang ramai untuk meneroka keunikan tempat-tempat menarik di Perlis dengan cara yang lebih santai dan menyeronokkan.
Inisiatif ini dijangka menarik lebih ramai pelawat ke Perlis, sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
Orang ramai disarankan untuk mengambil peluang ini dan merancang hujung minggu mereka bersama keluarga dengan aktiviti yang tidak hanya menyeronokkan, tetapi juga mendidik dan memperkenalkan sejarah serta keindahan alam sekitar negeri ini. – HARAKAHDAILY 30/6/2025




















