
KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang masih belum memuktamadkan pelanjutan perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan hakim Mahkamah Persekutuan dilihat sebagai amat mendukacitakan.
Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu menimbulkan persoalan serta kebimbangan terhadap ketelusan, niat sebenar kerajaan dan potensi gangguan kepada kebebasan institusi kehakiman negara.
“Kebiasaan dalam sistem kehakiman kita menunjukkan bahawa pelanjutan perkhidmatan bagi hakim-hakim tertinggi yang menghampiri umur persaraan wajar dipertimbang dan dimuktamadkan segera.
“Selaras dengan peruntukan nyata dalam Perlembagaan bagi memastikan kelangsungan, kestabilan dan keyakinan terhadap institusi kehakiman,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tegas beliau, amalan tersebut bukan sahaja telah lama diterima pakai, malah dianggap sebagai satu bentuk pengiktirafan munasabah terhadap sumbangan dan perkhidmatan hakim-hakim tertinggi sebelum ini.
“Situasi ini menjadi lebih membimbangkan sekiranya keputusan ini ada kaitan dengan kemelut yang dikatakan wujud dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) berhubung calon-calon bagi jawatan-jawatan tertinggi badan kehakiman.
“Jika benar, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang dan pemisahan kuasa antara cabang eksekutif dan kehakiman,” tegasya.
Justeru, beliau menggesa Perdana Menteri tampil memberikan penjelasan terbuka berhubung perkara ini secara adil, telus dengan berpandukan Perlembagaan serta amalan kehakiman yang mapan.
“Badan kehakiman tidak boleh dibiarkan dijadikan medan permainan politik atau kepentingan sempit mana-mana pihak. Maruah dan kebebasan institusi ini mesti dipertahankan tanpa kompromi,” katanya.
Terdahulu, persoalan sama ada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersara atau diberi lanjutan tempoh perkhidmatan enam bulan lagi, masih belum terjawab hingga kini.
Masih tiada pengumuman kerajaan sama ada beliau diberi lanjutan masa selama enam bulan, iaitu tempoh yang dibenarkan oleh undang-undang atau bersara secara mandatori apabila mencapai usia 66 tahun pada 2 Julai ini iaitu umur persaraan wajib hakim.
Selain beliau, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim juga dijadual bersara apabila mencapai umur persaraan wajib pada 3 Julai ini, dengan hari terakhir perkhidmatan beliau adalah pada Rabu ini. – HARAKAHDAILY 30/6/2025











