
KUALA LUMPUR: Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hanif Jamaluddin, menyeru agar masjid dan surau di seluruh negara dibuka seluas-luasnya untuk manfaat umat Islam tanpa sebarang sekatan waktu yang tidak wajar.
Beliau berkata demikian susulan tular satu video membabitkan seorang warga emas dihalau dari surau, meskipun individu terbabit dikenali sebagai ahli surau yang istiqamah mengimarahkan rumah Allah.
“Masjid dan surau ni bukan sekadar bangunan biasa. Masjid adalah rumah Allah, tempat hati-hati yang rindu kepada Tuhan bertemu dalam sujud dan doa.
“Di situlah roh kita disegarkan, jiwa kita ditenangkan dan dosa kita diampunkan,” ujarnya dalam media sosial miliknya semalam.
Namun katanya, masih terdapat tempat ibadah yang hanya dibuka pada waktu solat fardu, sementara selebihnya dikunci rapat seolah-olah ia bukan lagi ruang ibadah.
“Sedangkan Islam sendiri menganjurkan agar rumah ibadah ini dihidupkan dengan zikir, tilawah, solat sunat, iktikaf dan majlis ilmu.
“Firman Allah SWT: ‘Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat…’ (at-Taubah, ayat 18),” jelasnya.
Beliau menegaskan, kemakmuran masjid bukan sekadar meriah pada hari Jumaat, sebaliknya masjid perlu terus hidup siang dan malam.
Ustaz Hanif turut mengakui wujud kebimbangan mengenai isu keselamatan, kecurian dan penyalahgunaan premis ibadah, namun menegaskan penyelesaian lebih baik perlu dicari daripada sekadar menutupnya.
“Contoh kita letakkan CCTV atau sediakan pengawal, saya rasa ia lebih baik, Insya-Allah,” cadangnya.
Menurut beliau, masjid bukanlah muzium atau tempat eksklusif yang hanya dibuka mengikut waktu tertentu, sebaliknya ia adalah tempat untuk semua, tua muda, kaya miskin, tempatan dan musafir, bagi mencari ketenangan.
“Saya yakin banyak masjid dan surau di luar sana membuka pintu rumah Allah ini seluas-luasnya. Mereka menyambut orang yang datang dengan senyuman dan salam.
“Mereka menghidupkan masjid menjadi tempat beribadah, belajar, bermesyuarat dan merawat hati,” ulasnya.
Beliau turut menyeru agar semua pihak mencontohi pendekatan itu kerana apabila rumah Allah dibuka katanya, hati manusia juga akan turut terbuka menerima hidayah-Nya. – HARAKAHDAILY 30/6/2025











