
ALOR SETAR: Majlis Minum Petang atau Hi-Tea anjuran Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah antara lain tujuannya untuk mengumpul dana bagi mewujudkan aset-aset milik dewan, demikian jelas ketuanya, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.
Jelas beliau, selain memiliki kenderaan sendiri, dewan berkenaan juga membeli sebuah rumah berharga RM486,000 di taman perumahan bersebelahan Kompleks PAS Kedah.
“Majlis hi-tea hari ini, kita minta setiap Dewan Muslimat Kawasan beli dua meja berharga RM1,000 setiap satu. Sebahagian pendapatan ini, kita akan gunakan untuk membayar ansuran kenderaan Dewan Muslimat Negeri ‘Starex’.
“(Ia) masih berbaki dan juga menampung pendahuluan pembayaran rumah,” kata beliau pada majlis berkenaan yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, kelmarin dahulu.
Kata Ashah lagi, rumah dan kenderaan itu adalah aset yang akan diwarisi oleh pemimpin dewan itu pada masa akan datang.
Rumah tersebut ujarnya, apabila siap nanti akan dibuka sewaan kepada mana-mana pihak khususnya Dewan Muslimat Kawasan untuk mengadakan program dan sebagainya.
“Tetapi untuk merealisasikan impian yang suci ini, memerlukan pengorbanan setiap ahli dan Dewan Muslimat PAS Kawasan walaupun pengorbanan ini dikira seperti ‘terpaksa korban’.
“Kita tetapkan setiap Dewan Muslimat Kawasan sumbang RM35,000 sama ada infak atau secara pinjaman untuk kita jelaskan pembayaran kepada pihak pemaju.
“InsyaAllah, penghujung 2026 atau awal 2027, kita akan mula membayar sedikit demi sedikit kepada para peminjam,” jelas beliau panjang lebar.
Beliau turut melahirkan rasa terharu dengan pengorbanan ditunjukkan Dewan Muslimat Kawasan Kulim Bandar Baharu yang sanggup menggadai barang kemas untuk sumbangan awal sebanyak RM10,000 kepada pihak negeri.
Itulah katanya, contoh hijrah dari kelesuan kepada kekuatan, atas sebab pengorbanan yang dipaksa, ia mampu bangkit serta berani demi Islam.
“Itulah juga yang ditunjukkan oleh Saidatina Khadijah, yang sanggup mengorbankan apa saja yang kepunyaannya untuk Islam,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, pihaknya berani buat membuat keputusan untuk beli rumah itu kerana yakin semua muslimat mempunyai duit.
“Suami beri RM300 beli ikan, dia simpan RM50. Suami beri duit belanja bulan-bulan, dia simpan setengah. Hasil yang dia simpan tu, membolehkan dia menyumbang.
“Jangan simpan untuk main kutu atau beli pinggan mangkuk sahaja,” selorohnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas itu juga mengingatkan hadirin agar mengambil peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah sebagai suntikan motivasi kepada setiap diri umat Islam.
Katanya, menyusuri kisah penghijrahan Rasulullah SAW, terdapat seorang wanita yang membantu Baginda, mengorbankan apa yang ada padanya serta mempunyai keberanian hebat.
“Seorang wanita iaitu Saidatina Asmak yang sanggup korbankan ketakutan, hingga lahir satu keberanian dalam dirinya untuk sampai ke Gua Tsur, menghantar makanan kepada dua insan yang paling beliau sayangi iaitu Rasulullah SAW dan ayahandanya, Saidina Abu Bakar
“Peristiwa sejarah Maal Hijrah yang perlu diambil sebagai satu panduan bagaimana penghijrahan berlaku dan bermula dan penghijrahan paling besar adalah penghijrahan pengorbanan yang perlu ada kepada setiap umat Islam.
“Ketakutan kepada keberanian, kelemahan kepada kekuatan, kejahilan kepada ilmu, kelesuan kepada semangat juang yang tinggi,” hurai beliau kepada pengertian hijrah yang lain. – HARAKAHDAILY 30/6/2025











