Tiada bukti bakar sarang telur punca jangkitan paru-paru

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa pembakaran sarang telur menjadi punca jangkitan kuman ke paru-paru disangkal oleh Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah yang menegaskan tiada bukti kajian menyokong kaitan itu.

- Advertisement -

“Setakat ini tiada bukti kajian mengesahkan pembakaran sarang telur itu punca jangkitan kuman ke paru-paru. Semuanya dalam bentuk anekdotal atau cakap-cakap mulut sahaja,” ujarnya dalam satu penjelasan.

Beliau berkata, jika ada doktor mengesahkan kejadian pembakaran sarang telur dengan jangkitan kuman, ia tidak bersandarkan kepada bukti dan kefahaman yang jelas.

“Logiknya, kalau sudah berlaku pembakaran, sudah pasti kuman-kuman akan mati. Mana mungkin asap atau debu pembakaran itu merebakkan kuman masuk ke paru-paru?” soalnya.

Suhazeli menjelaskan, sepatutnya asap dari pembakaran itu jika disedut setiap hari bukan kuman yang masuk, tetapi bahan sisih daripada pembakaran seperti karbon dan sebagainya.

Menurutnya, jika pesakit terdedah secara berterusan, terdapat sejenis penyakit yang dikenali sebagai ‘Farmer’s Lung’ atau ‘Hypersensitivity pneumonitis’.

“Namun, kes sebegini amat jarang berlaku kepada orang muda. Ia berlaku setelah pendedahan kepada debu asap sehingga mencecah 50 hingga 60 tahun, barulah tanda-tanda itu timbul,” jelasnya.

Beliau turut mendoakan agar pesakit yang kini menerima rawatan di hospital segera sembuh.

“Saya cuba nak perbetulkan fakta sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2025

- Advertisement -