
KOTA BHARU: Pergolakan gepolitik dan kelembapan ekonomi global terutamanya konflik Timur Tengah dan dasar perdagangan Amerika Syarikat dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkata, tempias tersebut turut dirasai oleh Kelantan biarpun kesannya lebih kecil berbanding negeri yang lebih maju.
Bagaimanapun beliau tetap menaruh keyakinan yang tinggi terhadap keupayaan anak syarikat kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dalam menempuh cabaran tersebut.
“Pergolakan geopolitik dunia yang sedang melanda telah memberi kesan ketara terhadap keupayaan ekonomi global, termasuk negara kita, Malaysia dan juga negeri Kelantan tidak terkecuali.
“Namun begitu, saya kekal optimis terhadap keupayaan seluruh warga kerja serta anak syarikat di bawah kumpulan PKINK untuk terus memainkan peranan secara lebih proaktif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PKINK di Kelantan Trade Center (KTC), di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Dato’ Zamri Ismail.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu menyeru anggota PKINK dapat meningkat kemahiran dan memperkukuhkan tahap profesionalisme serta memacu Kelantan ke arah ekonomi lebih mampan.
Beliau berkata APC yang diadakan saban tahun menjadi satu pengiktirafan sangat besar terhadap usaha dilakukan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjamin.
Menurutnya, PKINK bukan sahaja melaksanakan pembangunan sosio ekonomi dan komersial malah memainkan peranan besar dalam agenda pembangunan selaras “Penghayatan Membangun Bersama Islam”.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga PKINK atas usaha dan dedikasi yang telah dicurahkan. Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada penerima anugerah.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi pencetus semangat untuk terus menyumbang dengan lebih cemerlang serta menjadi inspirasi kepada rakan sekerja yang lain,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 29/6/2025





















