Elak jadi mangsa penipuan umrah

Andalusia Travel seru jemaah umrah buat semakan awal.

Andalusia Travel tetap komited memikul amanah membantu jemaah melaksanakan ibadah umrah dan haji di tanah suci dengan lebih tenang.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Industri pengendalian haji dan umrah sering terpalit dengan isu penipuan serta kekecewaan berpanjangan dalam kalangan jemaah, apabila ramai yang menjadi mangsa penipuan hingga menyebabkan kerugian puluhan juta ringgit kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel), Ida Riswana Idris berkata, ramai yang mempersoalkan punca atau bagaimana ia boleh berlaku.

“Banyak langkah-langkah pencegahan sama ada dari pihak kerajaan Malaysia mahupun kerajaan Arab Saudi telah dilaksanakan, namun saban tahun, setiap kali bermulanya musim umrah atau haji, kes-kes penipuan tetap berlaku juga.

- Advertisement -

“Maka, pada awal tahun 1447 Hijrah (2025-2026) ini, saya ingin mengajak kepada semua umat Islam di Malaysia, ayuh kita berubah kepada cara pemikiran baharu sebelum membuat keputusan memilih pakej umrah atau haji.

Ida Riswana Idris

“Tidak kiralah sama ada bersama Andalusia atau agensi yang lain,” katanya dalam ucapan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) Andalusia Travel bersama AMAL by Malaysia Airlines (AMAL) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Ida Riswana berkata, beliau merayu kepada semua pihak yang ingin menunaikan umrah atau haji agar membuat kaji selidik terhadap mana-mana agensi dengan teliti.

“Tolonglah hentikan kepercayaan bulat-bulat kepada iklan di media sosial, saudara-mara dan sahabat handai yang rekomen, kumpulan usrah atau tok imam dengan 100 peratus (percaya).

“Luangkan sedikit masa untuk buat semakan dan kajian sebelum kita letakkan keyakinan pada mana-mana syarikat yang kita pilih,” katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa perkara penting yang perlu disemak oleh bakal jemaah sebelum membuat keputusan.

“Semak sama ada syarikat itu berlesen dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) atau tidak. Boleh rujuk dalam laman sesawang MOTAC. Selain itu, nilai kredibiliti dan reputasi pengurusan syarikat hendaklah diambil kira.

“Ketahui bagaimana cara syarikat itu menguruskan jemaah di Makkah dan Madinah. Adakah pernah timbul isu di media sosial atau aduan sebelum ini? Adakah mereka mempunyai petugas tetap, pasukan pengurusan yang berpengalaman dan rangkaian logistik yang tersusun?

“Anda tahu atau tidak sama ada syarikat mempunyai stok tiket penerbangan dan hotel penginapan yang sentiasa mencukupi di Makkah dan Madinah. Paling penting, pergilah jenguk sendiri di pejabat syarikat tersebut dan dapatkan kepastian sama ada operasi mereka sahih atau tidak,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa tiada halangan jika seseorang memilih untuk menguruskan ibadah umrah secara sendiri (DIY), asalkan tidak melibatkan orang lain secara komersial.

“Jika anda pernah ada pengalaman dan rasa ingin tempah pakej sendiri secara DIY, silakan, tidak salah. Yang salah ialah apabila aktiviti DIY, tetapi menjual pakej umrah atau haji juga kepada orang lain tanpa lesen MOTAC.

“Tambah memburukkan lagi keadaan, kutip duit jemaah dan lesap. Jika ini berlaku, jujur saya katakan kepada semua umat Islam di luar sana, ia hampir mustahil untuk anda dapat semula wang yang anda bayar! Walaupun pelbagai ikhtiar yang dibuat dan penipu dapat ditangkap, namun duit tetap lesap,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama MoU antara Andalusia Travel dan AMAL by Malaysian Airlines dapat menyedarkan masyarakat khususnya bakal jemaah umrah bahawa betapa pentingnya untuk mencari syarikat pengendali umrah yang bersedia dari awal dengan tiket penerbangan dan hotel penginapan di Makkah dan Madinah.

Beliau menegaskan bahawa kesedaran masyarakat amat penting agar mereka hanya berurusan dengan syarikat yang benar-benar boleh menjamin setiap pakej umrah yang ditawarkan mempunyai tempat duduk dan kemudahan yang telah disahkan terlebih dahulu.

“Kami sesungguhnya percaya bahawa usaha sama ini hanya akan berjaya dengan kerjasama semua pihak dan usaha yang bersungguh-sungguh.

“Niat kami hanyalah satu iaitu untuk sedaya upaya mengekalkan harga pakej umrah serendah mungkin supaya boleh membuka peluang lebih ramai lagi umat Islam untuk berkunjung ke Baitullah,” katanya.

“Semoga usaha sama di antara Andalusia Travel dan AMAL by Malaysia Airlines pada hari ini akan membawa manfaat kepada kita semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2025

- Advertisement -