
KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali pakej haji dan umrah terkemuka, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM75 juta bersama AMAL by Malaysia Airlines (AMAL) bagi musim umrah 2025/2026 (1447H).
Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel, Ida Riswana Idris berkata, perjanjian itu melibatkan pembelian minimum 21,000 tempat duduk penerbangan umrah.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah izinkan majlis yang gilang gemilang ini berlangsung pada hari yang mulia, iaitu pada hari Jumaat, 1 Muharam 1447H.
“Biasanya pada awal tahun, kita semua akan berazam untuk melakukan sesuatu yang lebih baik dari tahun sebelumnya.
“Bagi awal tahun 1447H ini, Andalusia menjadikan semangat hijrah sebagai pendorong untuk terus melangkah lebih jauh dengan amanah dan profesionalisme,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Menandatangani Perjanjian (MOU) Andalusia Travel bersama AMAL by Malaysia Airlines di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan Andalusia Travel, Ibrahim Mat Sin; Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel, Dato’ Ustaz Md Daud Che Ngah; Ketua Pegawai Operasi AMAL by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor dan Ketua Komersil, AMAL by Malaysia Airlines, Roslan Ismail.
Hadir bersama, Ketua Digital dan Pemasaran, AMAL by Malaysia Airlines, Zuraidah Mat Dol dan Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin.
Ida Riswana berkata, kerjasama strategik ini telah memasuki tahun ketujuh yang membuktikan kepercayaan yang konsisten antara kedua-dua pihak dalam pengendalian jemaah secara profesional dan tersusun.
“Insya-Allah, berkat sokongan semua pihak, kerjasama ini akan berterusan dari tahun ke tahun,” katanya.
Beliau berkata, hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi simbol kepada satu transformasi sistem hidup yang lebih baik yang bukan sahaja untuk seluruh warga kerja Andalusia, malah untuk umat Islam khususnya di Malaysia.
“Kami berharap segala usaha ini memberi manfaat bukan hanya di dunia, tetapi juga sebagai bekalan ke akhirat,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2025




















