
KANGAR: Golongan wanita di Perlis mencatatkan pencapaian yang membanggakan dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, profesion serta ekonomi, sekali gus membuktikan bahawa mereka memainkan peranan signifikan dalam pembangunan negeri.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia berkenaan Pemerkasaan Wanita Dalam Domain Terpilih Malaysia 2024 menunjukkan bahawa sepanjang 2021 hingga 2023, wanita di negeri ini mengatasi lelaki dalam beberapa aspek utama.
“Wanita di Perlis lebih ramai berbanding lelaki, mempunyai kadar enrolmen kasar pendidikan tinggi yang lebih tinggi, lebih ramai menceburi bidang profesional dan turut merekodkan purata gaji serta upah bulanan yang lebih tinggi daripada lelaki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Women’s Talk Siri 1: Hak-Hak Wanita Dalam Perkahwinan di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini semalam.
Tambah beliau, perkembangan ini menunjukkan bahawa pemerkasaan wanita bukan sekadar memberi manfaat kepada individu semata-mata, malah mampu menyumbang kepada keharmonian institusi keluarga dan pembangunan negeri secara menyeluruh.
“Wanita perlu sentiasa peka dan cakna tentang hak dan tanggungjawab mereka, khususnya dalam institusi perkahwinan, selaras dengan tema forum pada hari ini,” ujar beliau.
Program turut memfokuskan perbincangan mengenai hak, tanggungjawab serta cabaran wanita dalam perkahwinan selain mengetengahkan ruang undang-undang yang tersedia untuk melindungi wanita daripada pencabulan hak atau pelanggaran undang-undang.
Mohd Shukri turut menyeru agar para wanita memanfaatkan maklumat yang diperoleh dalam program ini dan mengetahui saluran-saluran sokongan yang tersedia termasuk agensi dan badan berkaitan.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong program-program pemerkasaan wanita sama ada melalui penyelarasan rentas agensi mahupun penglibatan komuniti secara langsung.
“Menjadi solehah bukan bererti secara drastik kita menukar penampilan atau pakaian, tetapi cukup dengan memahami apa yang Allah suka dan tidak suka. Kena banyak menuntut ilmu diri,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 25/6/2025




















